Tuesday, 25 May 2010

LAHIRNYA SEORANG PEJUANG ISLAM DI PALESTIN

Ke hadapan sahabatku Taufiq,

Sudah dua malam aku berjaga, entah mengapa selaput mata ini tidak mahu melabuhkan lapisnya membiarkan aku enak dibuai mimpi lantas melupakan semua denyut permasalahan yang melanda pemikiranku yang kian hari kurasakan kian berat membebankan.

Kelmarin selepas solat Maghrib berjemaah, Luqman sibuk melakar-lakar pos tentera Israel yang berhampiran. Mereka tempoh hari menahan Abdul Kadeer, atas alasan menyimpan senjata berbahaya. Entah apa yang mereka ketemukan, langsung aku tidak ketahui.

Sungguh kami punya senjata, namun bukan di bawah jagaan Abdul Kadeer. Israel, membuta selalu. Abdul Kadeer hanya seorang lelaki yang tua dan tempang, justeru kami tidak lagi membebankan beliau dengan apa-apa jua tugas. Kasihan anaknya Hafiz, menjerit- jerit melihat bapanya ditarik kasar. Kami tekun mengamati pelan lukisan Luqman. Rajin mendengar arahannya. Aku tahu peluang untuk menang memang tipis, kami tidak punya senjata secanggih tentera Israel, bilangan kami juga lebih kecil.

Aku senyum. Sering timbul tentangan di antara kami dulu, Lutfi contohnya. Kenapa mahu teruskan perjuangan jika terang-terangan kita kecil dan lemah? Namun jawapan itu dia ketemukan sendiri saat abangnya dibunuh seorang tentera yang meronda. Haruskah aku ingatkan bahawa jika bukan kami yang membela nasib saudara-mara kami di sini, lantas siapa lagikah yang akan bangun memenangkan kami? Tidak timbul lagi soal kenapa membalas serangan, yang penting dalam qalbu masing-masing sudah dipasakkan niat, yang mudah- mudahan ikhlas kerana Tuhan. Bukan kemenangan yang diidamkan, tapi semangat itu yang harus sentiasa dijulang. Sekurang-kurangnya kami menegakkan apa yang sepatutnya berdiri di sini. Kami lemah dan kecil, mungkin. Tapi itu bukan kayu pengukur. Kisah Omar Mukhtar selalu kami jadikan pembakar semangat. Biar syahid di tali gantung namun Italy sudah tentu tidak akan melupakan insan gagah yang selama 20 tahun tidak berputus asa membebaskan Libya daripada penjajah.

Esok dengan izin Tuhan, akan kami ke sana. Dan sudah tentu aku perlu kepada tidur yang cukup. Namun entahlah, degil sungguh lena daripada menjemputku. Lantas kuambil pena dan tinta, mencoretkan sesuatu agar jika satu masa nanti aku telah tiada, sekurang-kurangnya ada secebis hati (kau!) yang masih mengingatiku. Segala- galanya milikku tidak kekal lama, hanya kuharapkan persahabatan kita mekar, lebih kekal daripada semuanya di bumi kelahiranku ini. Serasa terlalu penat aku mendiami perasaan yang sukar dirungkaikan dengan kata- kata.

Benarkah Taufiq? A goat would be slaughtered only if it chooses to? Benarkah?

Kata-kata itu aku pinjam dari seseorang yang tidak aku kenali, saat kau terjatuhkan bingkisan surat khabar yang kau bawa dari Malaysia. Salah satu komen pembacamu. Aku bertanyakan maksudnya daripadamu, dan patutlah engkau sendiri serba-salah mahu menterjemahnya.

Saban malam biar sudah bertahun lamanya aku masih terdengar-dengar tangisan Khalilah adikku yang ketika itu berusia enam tahun tatkala melihatkan ibuku ditembak oleh anjing bertopengkan wajah manusia tanpa sedikitpun rasa kasihan. Aku masih ingat aku sendiri menggigil-gigil ketakutan di bawah alas tidur melihatkan percikan darah abangku Jamil saat tempurung kepalanya bersepai dilawati peluru mesin syaitan itu. Hatiku luluh melihat bapaku dipijak-pijak oleh anjing-anjing kerahan iblis itu. 21 Ogos 1969 lelaki itu begitu gah sekali menyelamatkan Masjid Al-Aqsa saat bangunan itu dijilat api dibakar Zionis. Namun malam itu maruahnya diletakkan di bawah tapak but yang menggerunkan. Taufiq, aku kira kau takkan mengerti apa yang aku rasa saat itu. Bayangkan saat menjadi pelarian di Beirut jauh dari rumahmu yang sudah hancur ranap, tiba-tiba setiap orang bertempiaran, menjerit-jerit digempur oleh bunyi yang maha kuat lalu keluar segerombolan jembalang berpakaian tentera dengan mesin pembunuh yang memuntahkan butir-butir yang berdesing memburu manusia-manusia yang tidak mengerti mengapa harus nyawa mereka direntap.

Aku kira usia 17 padamu Taufiq, kau sibuk menguruskan pendidikanmu. Sekolah dan peperiksaan, keluarga dan teman-teman, percutian dan hobi masa lapang. Aku tidak salahkanmu Taufiq, jauh sekali daripada mencemburuimu. Aku sekadar berkongsi cerita. Kita sama-sama makhluk Tuhan, dan masing- masing diuji dengan cara-Nya yang tersendiri. 16 September 1982, dua minggu sebelum ulang tahun kelahiranku yang ke 17, dan dua hari berikutnya, seramai 3500 umat Islam Palestin disembelih, diperkosa, diseksa tentera Kristian Lebanon dari Tel Aviv, dihantar khas oleh Yahudi Laknatullah, kononnya usaha untuk menyahkan "militan" Palestinian Liberation Organization. Entah dari mana Israel mendapat idea gila bahawa mereka layak membenarkan tindakan itu lantas menarik beribu-ribu nyawa umat Muhammad. Seluruh ahli keluargaku terkorban dalam peristiwa itu. Aku kira Khalilah sendiri belum pandai mengeja untuk menjadi ahli PLO. Ah, aku menjadi putus harap.

Aku tak fikir rakyat dunia hari ini punya sensitiviti untuk mendengar ceritaku. Cukup kau sahaja yang menjadi temanku Taufiq. Mendengar kisahku. Umat dunia hari ini lebih bersedih dengan kejadian World Trade Centre, menutup langsung kisah Sabra dan Shatila. Aku hanya rakyat Palestin. Bukan kelahiran Amerika. Bukan warga negara maju. Lalu kisahku tidak diambil peduli. Begitu kejap kisah WTC menjengah, Amerika menuding jari menuduh warga Afghanistan menjadi dalangnya. Begitu pantas pula bumi itu disapa oleh ramahnya bala tentera Amerika.

Kegilaan apakah ini? Atau akukah yang sesat hidup di alam kebinatangan?

Pernah kaunyatakan padaku yang kaubenci melihat umatmu yang masih tidur. Jika aku di sini mahu menyelamatkan saudara-maraku secara fizikal, kau pula buntu bagaimana mahu menyelamatkan paradigma saudara-maramu daripada dijajah oleh cacing-cacing yang memamah kewarasan fikiran dan kekejatan iman. Kau mual dengan minda umat di bumi kelahiranmu. Sibuk dengan fesyen dan muzik (ah, aku sendiri tidak berselera untuk memikirkan perkara seremeh itu), mengikut-ikut rentak dunia terkini. Menjadikan Barat sebagai contoh tanpa sedar merekalah pembunuh benih-benih mujahid agama. Dari sekecil-kecil anak sehingga ke pakcik tua. Budaya Yahudi ditanam kukuh dalam kehidupan. Anak-anak diajar dengan tatasusila Inggeris kesemuanya, silibus agama dicarik- carik sehingga tinggal cebisan tulang, sekadar senipis selaput membran sel. Dilekakan dengan hedonisme. Terus mengikut sistem perdagangan yang ditinggalkan penjajah Inggeris, lantas membenarkan mereka menguasai ekonomi tanpa sebarang perubahan. Dan mereka menyeringai sinis menyaksikan kebebalan umat. Mendewa-dewakan sistem pemerintahan mereka. Mengamalkan sifat- sifat busuk mereka. Kau marah dan kau ingin bangun tapi kau tidak tahu caranya selain media yang kau pegang dan doa yang kautitipkan. Oh Taufiq, kau memang mulia (senyum).

Aku ingin menangis, tapi aku tidak mampu. Menangis tidak akan merubah apa- apa. Menangis tidak akan membuatkan semua umat Islam bersatu dan mengikat perjanjian memeterai keselamatan dan hak setiap nyawa Muslim di atas muka bumi. Menangis sekali-kali tidak akan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Dan jika sekalipun aku menangis, tiada siapa yang sudi mendengarnya. Aku tidak tahu ke mana semua manusia yang diangkat menjadi pemimpin itu pergi. Mungkinkah gempa letupan di Palestin tidak terdengar ke negara-negara lain, lantas mereka meneruskan mimpi yang hanya seketika?

Dan buat kesekian kalinya aku sendiri tidak tahu apakah tindakanku untuk menyusup di bawah gelimpangan mayat malam berdarah itu, benar atau sebaliknya. Aku sepatutnya biarkan sahaja diriku mati hari itu, bukankah itu yang sewajarnya? Daripada melihat serangan berpanjangan Yahudi - Zionis terhadap Masjid Suci itu walaupun selepas Perjanjian Oslo pada 1993. Daripada menderita melihat kebejatan ihsan umat dunia. Kadang-kadang aku terfikir Taufiq, adakah cuma rakyat Palestin seperti kami sebenarnya yang mengetahui kepentingan Masjid Al-Aqsa? Ah, itu bukanlah soalan yang betul. Adakah cuma rakyat Palestin seperti kami yang beriya-iya mempertahankan Islam? Adakah negara-negara Arab yang lain, lebih tepat lagi, negara-negara Islam yang lain, gerun menghadapi Israel dan Amerika? Oh, mungkin Iraq juga mempertahankan Islam, lalu terus dengan kadar segera dibunuh bandar dan rakyatnya. Dan negara-negara lain terus menafikan kaitan mereka dengan Islam, agar terpelihara negeri dan makmur penduduknya. Oh... Kasihannya rakyat bumiku tak terbela...

Marah? Gilalah aku kiranya tidak punya perasaan marah. Aku tidak minta supaya kau datang ke mari lagi Taufiq, tidak langsung aku minta kau datang ke mari meninggalkan rumahmu dan keluargamu dan negaramu yang aman damai lantas menemaniku di sini yang selalu diselubungi perasaan takut. Menemaniku bererti kau harus selalu menghitung berapa temankah yang syahid hari ini. Berkira-kira berapa lama lagi yang ada sebelum dijemput Malaikat Maut. Menenangkan diri tika hati berdegup kencang terlihatkan manusia bersenjata. Membilang hari-hari berlalu dengan rasa kesyukuran dalam setiap nafas yang disedut. Sekurang- kurangnya dengan setiap deru nafas itu Israel tahu kami masih tidak mengalah. Yahudi tahu bahawa janji Tuhan akan tiba. Melihat Amerika tidur terus- terusan dalam istidraj. Biar. Aku yakin Taufiq, Tuhan Maha Adil.

Dunia melihat aduan terhadap Ariel Sharon difailkan di mahkamah antara bangsa untuk jenayah perang (Belgian Courts for war crime), tapi dengan selamatnya dia berjaya meloloskan diri. Heh, dan aku kira Slobodan Milosevic mungkin berasa jaki terhadap Sharon. Oh, subhanallah. Besar hikmahnya aku hidup selepas Sabra dan Shatila Taufiq. Biarpun aku terpaksa menyaksikan Sharon digelar oleh anjing saudaranya Bush sebagai "A Man of Peace", paling kurang dari Lebanon aku nekad kembali ke Palestin menjadi ahli Hamas pada 1987. Bangga aku dinobatkan sebagai Atfal Hijarah, sedang katamu kawan-kawanmu sudah cukup berpuas hati bergelar umat Islam tanpa sedikitpun berjuang. Fahamkah dunia betapa perit apa yang kami rasa? Memerangi Zionis dengan hatta batu. Harga yang harus dibayar kerana bergelar Muslim penduduk bumi suci. Namun aku cukup berbesar hati Taufiq, biar langsai nyawaku, agama ini agamaku, tanah ini tanahku. Usia 20-anmu kau sibuk merakam takziah buat agama, melihat umat yang lemah tak bersemangat dalam perjuangan berdakwah. Usia 20-anku pada 1989 aku mengucap syukur menyaksikan semangat sahabat-sahabatku yang dipenjarakan. Turut melaungkan takbir saat masa merakam peristiwa di Bir Nabala. Kau barangkali bungkam tatkala sahabat-sahabatmu tidak hadir ke usrah, tapi aku bungkam, lagi dan lagi saat Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz Rantisi dibalun haiwan.

Adakah ibuku seekor kambing yang dipilih untuk disembelih Taufiq? Adakah abangku dan bapaku dan adikku dan aku dan jiran-jiranku dan saudara- maraku semuanya tidak lebih daripada kambing-kambing yang diminta untuk disembelih? Mana dunia saat kami ditindan bencana? Mungkinkah kalian akan terus lena sehingga sampainya satu saat di mana rumah kalian dihenyak dan maruah kalian dicalari? Tidak Taufiq, aku tidak mendoakan sesuatu yang buruk untuk kalian. Tidak pernah dan tidak akan. Cuma terlalu banyak harapan yang aku gantungkan. Kalian punya peluang yang tidak kami punyai. Kalian punya suara, kami cuma punya air mata yang tidak diendahkan. Kalian punya pendidikan, punya kuasa
(yang kalian tidak pernah gunakan), kami cuma punya permintaan, demi permintaan.

Penat? Sudah aku nyatakan awal-awal, aku penat mendiami perasaan ini. Saban hari tugas tidak menentu. Mempertaruhkan nyawa. Bukan aku penat dengan tanggungjawab ini Taufiq, cuma aku penat dengan kekesalan, penat melihat kejatuhan umat. Aku sedih melihat kanak-kanak membesar tanpa persekitaran yang mendamaikan. Hafiz mungkin masih terlalu kecil untuk memahami, tapi Aminah yang berusia tujuh tahun itu begitu kejal jiwanya pada pandanganku. Semalam aku lihat dia memberi cebisan rotinya untuk Ruqayyah adik kecilnya sedang dia sendiri menelan liur melihat makanan itu dikunyah rakus. Salman, anak bongsu Luqman yang berusia 12 tahun begitu berhati-hati tidak membenarkan Aminah dan kanak-kanak perempuan lain keluar bermain tanpa pengawasannya. Pernah aku dengar kata-kata Salman; "Kalian kaum perempuan, duduk di rumah. Jika ada apa-apa berlaku terhadap kalian, akulah yang kelak rasa paling bersalah," oh! Sungguhkah Salman masih anak-anak?

Sungguh aku tidak mengimpikan tertegaknya Khilafah Islamiyyah saat aku masih hidup, kerana aku sendiri tidak mampu berjanji untuk terus bernafas pagi esok. Aku tidak minta untuk kerajaan kafir terus tersungkur esok, tapi usaha akan terus aku panjangkan, sungguh, dengan izin Tuhan, hatta dengan batu. Aku akan teruskan perjuangan yang sedia ada ini, walaupun aku tidak nampak kelibat kejayaan menghampiri. Aku berjuang bukan untuk menang Taufiq, aku berjuang kerana Tuhan. Aku tidak melawan untuk hidup Taufiq, tapi aku berperang untuk mati. Jika kalah, aku yakin ada perhitungan yang lebih baik untukku kemudian. Memang aku kasihkan keluargaku, teman-temanku dan segala- galanya di bumi Palestin ini, tapi aku yakin Tuhan tidak akan membiarkan kami terus-terusan bersedih.

Taufiq, harus aku carikkan noktah di sini. Aku perlu lekas berangkat, punya hal yang harus diselongkar. Terima kasih sahabat, atas lawatanmu tempoh hari. Surat ini akan kuserahkan kepada ahli bantuan dari negaramu, sampai dengan selamat hendaknya kepadamu. Mudah-mudahan Tuhan akan mengurniakan kita keimanan dan kekuatan yang bertambah mantap sehingga saat kita bertemu-Nya. Mudah-mudahan azan akan terus berkumandang di seluruh ceruk dunia. Mudah-mudahan kita terus bersyukur dengan nikmat Iman. Dan sentiasa kita dalam rahmat-Nya.

Sekiranya aku mati, Taufiq, engkaulah yang kuharapkan menggalas amanah menongkah kesedaran.

Salam juang, Umar

Oleh itu berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam daripada pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan ingatlah Allah amatlah besar kekuatan-Nya dan amatlah berat azab seksa-Nya An-Nisa': 84

>dipetik dr http://cerpendakwah.blogspot.com

Sunday, 14 March 2010

Cinta Dalam Batasan Iman

Hembusan angin yang begitu kencang membuatkan tudung Huda melambai-lambai. Dipegangnya perlahan-lahan, namun angin yang begitu kencang membuatkan Huda tidak mampu mengawal tudungnya. Dia terus berjalan dan menaiki anak tangga Fakultinya. Dia pelik melihat sekelompok siswa yang tersenyum-senyum melihatnya. Perasaan Huda semakin tidak selesa. Dia berhenti seketika di penjuru koridor yang sudah agak jauh dari kelompok siswa-siswa itu. Diperhatikan keadaan dirinya. Ada yang tidak kena ke dengan pakaian aku?bisik hati kecil Huda. Ah! Biar sahaja mereka itu. Usah dihiraukan. Huda terus berjalan melintasi sekelompok siswa-siswa tadi. Dia sedikitpun tidak menghiraukan mereka.

“ Assalamualaikum…ustazah. Kesian ustazah…, dalam keadaan angin kencang macam ni tak sesuai ustazah pakai tudung yang labuh macam ni. Kan menyusahkan…”, usik salah seorang daripada mereka. Aku tidak menghiraukan kata-katanya. Aku terus berjalan. Tidak habis di situ saja. Kali ini aku disekat dipertengahan jalan oleh salah seorang daripada mereka yang wajahnya asyik tersengih-sengih. Badannya agak kurus dan bercermin mata.

“ Boleh berkenalan, nama ustazah siapa ye? Tadikan ustazah tak jawab salam kawan saya tu, berdosa tau. Tak baik buat macam tu. Kita dalam Islam ni kalau ada orang nak jalinkan hubungan silaturahim kita tak boleh tolak”, usik siswa itu. Hatiku semakin sakit. Inilah suasana yang aku hadapi selama baru berada sebulan Di Universiti Multimedia Malaysia. Aku pelajar baru di sini. Pelajar yang selalu diganggu dan diusik oleh senior-senior terutamanya senior lelaki. Aku juga pelik, kenapa aku yang selalu menjadi mangsa? Kenapa penampilan aku ini sering menjadi usikan siswa-siswa di sini. Kadang-kadang kesabaranku naik ke kemuncaknya. Aku beristighfar banyak-banyak. Ya Allah kuatkan semangatku untuk berhadapan dengan semua ini.

Esoknya aku terkejut ketika ada seorang siswi datang menghampiriku dan menghulurkan sepucuk surat dan sekuntum mawar merah. Apa pulak ni? Berkerut muka Huda apabila membaca surat itu.

Saudari…

Salam perkenalan. Moga kita dapat berkenalan dengan lebih jauh…Moga saudari dapat menerima saya.
Teruna Mengharap.

Seketika Huda ketawa sendiri. Dikoyaknya surat itu dan dia lemparkan ke dalam tong sampah. Dia terus berjalan masuk ke dalam bilik kuliah.

“ Woi…woi…dia dah masuk”, kata-kata yang keluar dari mulut siswa sekelas Huda. Huda berpaling ke arah mereka. Mereka semua tersenyum memandangku. Ya Allah, apa pulak yang akan berlaku nanti?” bisik hati kecil Huda dan mengambil tempat duduknya agak jauh daripada siswa-siswa itu. Huda menumpukan sepenuh perhatiannya ketika pensyarahnya menerangkan topik-topik penting di dalam kelas.

“ Untuk tajuk ini kamu semua kena siapkan satu assigment bagi memenuhi lagi 40% markah. Bahagi dalam kumpulan. Satu kumpulan sekurangnya-kurannya empat orang”. Kata Dr. Asmuni.

“ Dr., tak pe, pasal kumpulan saya rasa biar saya tetapkan, nanti saya berikan senarai nama tu pada Dr. Saya rasa itu lebih senang”, sampuk Syakawi selaku ketua kelas kami. Masing-masing setuju dengan pendapat Syakawi. Aku mengikut sahaja dengan pendapat mereka.

Tidak pernah kuduga, cadangan Syakawi itu ada rahsia di sebaliknya. Rahsia yang telah diramcang oleh mereka. Aku sama sekali tidak setuju dengan pemilihan Syakawi dalam pembahagian kumpulan untuk tugasan assigment yang diberikan oleh Dr. Asmuni.

“ Saya tak setuju kalau pembahagian kumpulan macam ni. Kenapa dalam group saya, saya sorang je perempuan? Macam mana saya nak buat kerja macam ni”, protes Huda kepada Syakawi. Syakawi tidak menjawab. Dia berlalu begitu sahaja. Akhirnya Huda bertemu dengan Dr. Asmuni untuk memberitahu semua itu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan. Dr. Asmuni tetap bersetuju dengan pembahagian yang telah dibuat oleh Syakawi. Aku seperi mahu menangis mendengar kata-kata Dr. Asmuni. Ya Allah…mereka tidak memahami keadaan diriku.

Hari ini hari pertama group Huda akan bertemu untuk membincangkan tugasan mereka. Hatinya berdebar-debar. Ya Allah…Kau kuatkan hatiku ini. Kau lindungilah aku Ya Allah. Huda tidak putus-putus berzikir dan berdoa. Hampir setengah jam Huda menunggu mereka di perpustakaan. Batang hidung mereka mash tak nampak-nampak. Huda semakin risau.

“ Mereka ni nak mempermainkan aku ke?” bentak hati kecil Huda.

Tidak lama kemudian,

“ Assalamualaikum…”,

“ Waalaikumusslam…”, balas Huda dan terus berpaling ke belakang. Hanya seorang sahaja daripada mereka yang datang. Hasrul memandangku tak putus-putus. Aku pelik melihatnya. Mana yang lain? Soalan itu yang mahu kutanya, tapi lidahku kelu. Aku menjadi semakin rimas dengan pandangan Hasrul.

“ Mereka yang lain tak dapat datang. Rasanya kita berdua dululah yang bincang tajuk assigment tu”, kata Hasrul sambil tersenyum-senyum kepadaku. Ah…tidak mungkin hanya kami berdua sahaja. Sesungguhnya apabila seorang perempuan dan seorang lelaki bertemu nescaya yang ketiganya adalah syaitan. Tidak sama sekali. Aku bukan seperti itu.

“ Minta maaf ye Hasrul. Saya rasa kita kena bincang dengan semua ahli group kita. Saya rasa tak elok kita berdua saja yang bincang dulu. Nanti mereka tak tahu apa-apa pula”, kataku ingin mengelak.

“ Tak pe, nanti saya beritahu mereka apa yang perlu mereka lakukan”, balas Hasrul sungguh-sungguh.

“ Saya rasa tak patut macam tu. Lebih baik awak dan mereka bincang betul-betul bila masa yang sesuai untuk kita semua jumpa. Saya tak nak kita buang masa. Banyak lagi kerja-kerja yang perlu kita lakukan”, kataku tegas tanpa memandang sedikitpun wajah Hasrul. Hasrul terdiam.

“ Saya rasa kita tak perlu bincang apa-apa lagi hari ni. Saya balik dulu”, kataku dan terus melangkah pergi.

“ nanti dulu”, balas Hasrul lalu menarik tanganku. Aku menepis dengan kuat. Apa ni!!!? Berani Hasrul menarik tanganku di hadapan pelajar-pelajar lain. Aku ketika itu seperti mahu menamparnya.

“ Apa awak ni? Pegang tangan saya sesuka hati”, marah Huda lalu berjalan pantas meninggalkan Hasrul di situ. Hasrul mengejarnya dan menghalang perjalannya.

“ Awak ni apa pada saya? Tepilah…saya nak balik. Awak ni tak faham-faham ke”, marah Huda lagi.

“ Awak…boleh tak awak beri ruang untuk saya seketika. Jangan sombong sangat. Boleh tak faham keadaan dan perasaan hati saya. Kenapa awak tak pernah faham hati dan perasan saya. Sampai hati awak buang surat dan bunga yang saya berikan”, luah Hasrul dengan penuh perasaan.

“ saya yak faham apa yang awak maksudkan?” balasku.

“ Saya sukakan awak, tapi awak tak pernh beri peluang”, kata Hasrul sambil menundukkan wajahnya ke lantai. Ya Allah… apa semua ini? Aku terkejut, terkejut dengan kata-kata Hasrul.

“ Hasrul…kita ke sini nak belajar, kita baru je sebulan lebih di sini. Tak payahlah nak fikir-fikir benda tu lagi. Saya rasa kita tumpukan dulu pelajaran kita”, nasihat Huda.

“ Itu saya tahu, tapi saya dah sukakan awak. Tolonglah faham Huda”, rayu Hasrul. Kuatkan hatiku Ya Allah. Jangan kau luluhkan hatiku dengan kata-kata Hasrul.

“ Macam nilah Hasrul. Saya rasa awak balik dulu. Banyakkan doa kepada Allah. Minta petunjuk daripadaNya. Suka dan cinta tu tak salah, tapi kita kena sesuaikan dengan syariat, batasan iman yang kita ada. Maaf ye Hasrul, saya minta diri dulu”, pintaku lalu berlalu pergi. Kata-kataku itu membuatkan ada garis-garis kecewa di wajah Hasrul.

Malam ini aku sibuk mentelaah tajuk-tajuk yang bakal dipelajari esok hari. Room mate masih lagi belum pulang. Aku memandang bintang-bintang di langit yang berkelip-kelipan melalui jendela bilikku. Begitu indah sekali kebesaran dan ciptaan Allah. Aku memandang sosok tubuhku sendiri. Sesungguhnya kekuasaan dan kasih sayang Allah itu tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Tiba-tiba…

“ Assalamualaikum…

“ Waalaikumusslam…”, jawab Huda dan terkejut seketika. Suara yang pernah didengarinya sebelum ini. Hasrul!!!Apa yang dia mahu lagi? Huda hanya diam.

“ Huda…Awak sihat?”, tanya Hasrul dengan nada yang agak terketar-ketar.

“ Sihat…Kenapa?Oh ya, macam mana dengan kawan-kawan yang lain, bila boleh kita jumpa untuk bincang tajuk assigment kita tu?” balas Huda sambil menggaru kepalanya.

“ Huda…boleh saya cakap sesuatu dengan awak”, kata Hasrul lagi.

“ Saya rasa kalau perkara itu penting dan perlu dikatakan sekarang silakan. Saya ada kerja sekarang, maaf ye”, kata Huda dengan penuh ketegasan.

“ Saya harap awak dapat menerima saya”.

“ Saya tidak pernah menolak seseorang tu dalam hidup saya, apatah lagi mereka itu saudara saya sesama Islam. Saya harap awak faham dengan kata-kata saya ni. Assalamualaikum…”, jawabku lalu menutup telefon.

Esoknya aku ke kuliah seperti biasa. Semua siswa sekelasku menadangku dengan pandangan yang penuh kebencian. Aku tidak menghiraukan mereka. Aku terus masuk ke kelas dan duduk di tempatku8 seperti biasa.

“ Huda…boleh aku bercakap dengan kau sikit”, kata Fatihah dan menghampiriku. Wajahnya masam sahaja. Entah apa yang berlaku kepadanya.

“ Ada apa Tihah. Cakaplah”. Balasku sambil menyelak helaiansdemi helaian buku di atas meja.

“ Kau ni perempuan apa Huda. Sombong semacam je. Dah orang nak kat kita, terima sajalah. Jangan nak memilih. Sombong sangat kau ni. Jangan sampai satu hari semua lelaki benci kepada kau”, marah Fatihah. Aku tergamam. Hatiku beristighfar tidak putus-putus mendengar kata-kata Fatihah. Apa salahku sehingga Fatihah sanggup melontarkan kata-kata itu. Perempuan apa aku katanya. Sedih mendengar kata-kata itu. Mereka tidak pernah faham Ya Allah, mereka tidak pernah mengerti apa yang ada dalam benak hatiku ini. Huda menarik nafas panjang.

“ Apa ni Fatihah? Aku tak faham”, kataku seolah-olah tidak tahu

“ Yelah, Hasrul tu mati-mati cintakan kau, berusaha untuk menawan hati kau, kau buat tak layan je pada dia. Kau tahu dia tak makan dan sekarang ni dia tak sihat kerana kau, kerana kesombongan kau tu”, marah Fatihah sambil menunding jari ke arahku. Matanya terbeliak seolah-olah seperti harimau mahu menerkam mangsanya.

“ Tihah…Cinta tu hanya pada Allah. Aku tak salahkan Hasrul untuk semua tu, tapi dia kena faham, cinta antara seorang lelaki dan perempuan yang masih belum berkahwin berdosa namanya. Aku sudah jelaskan pada dia, aku terima dia sebagai saudara sesama Islam, sebagai sahabat dan kawan. Tidak lebih daripada itu. Aku takut hatiku ini dalam ketidakredhaan Allah, Tihah. Nafsu manusia yang tidak dikawal akan mudah dirasuk oleh syaitan. Aku harap kau faham”, jelas Huda penuh kelembutan. Fatihah memandang sayu kepadaku. Pandangannya menampakkan dia jelas dengan kata-kataku itu. Aku memegang bahunya.

“ Tihah…Cinta itu kita perlu pupuk dalam diri dan hati kita, tapi bukan untuk memuaskan nafsu, tapi cinta kita berlandaskan iman. Itu sudah pasti dapat mengawal kita dan menjadikan kita sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa mengawal setiap gerak geri diri dan hati kita”, kataku lagi. Fatihah hanya mengangguk.

Ya Allah… kurniakanlah kepadaku orang yang sentiasa mencintaiMu, sentiasa mendekatkan diri untuk teru mencintaiMu dan Mencintai diriku kerana cintaMu…

Tuesday, 16 February 2010

Ketika Sakura Berguguran

Hari masih pagi. Semburat merah sinar suria baru terlihat sedikit di ufuk timur. Raudah baru saja menyelesaikan solat subuh dan tilawah panjangnya. Biasanya dia kembali menyembunyikan diri disebalik selimut tebalnya. Entah mengapa, pagi ini dia ingin sekali menikmati indahnya mentari yang mulai menyapa bumi. Begitu menyenangkan, fikirnya.

Baru beberapa minggu dia meninggalkan gerbang asrama ada suara akrab yang menyapanya, "Raudah-san ohayo...." Tanaka-san melambai ke arahnya. Rancangan untuk jalan-jalan hilang seketika. Nenek tua ini memang sahabat baiknya. Tanaka-san tinggal berdua dengan anak perempuannya. Rumahnya hanya selang beberapa rumah dari asrama Raudah.

Jepun yang berkembang pesat membuatkan hampir semua penduduknya tenggelam dalam kesibukan. Termasuk Etsuko, puteri Tanaka-san yang bekerja seharian. Nenek ini kesepian di masa tuanya, Raudah selalu teringatkan neneknya di Malaysia menyebabkan dia bersahabat baik dengan Tanaka-san. Akhirnya pagi itu mereka menikmati cuaca pagi berdua. Taman besar di sudut jalan itu memang tempat yang menyenangkan bagi mereka.

Memandang hijaunya tanaman memberi kesejukan tersendiri buat Raudah. Apalagi sambil mendengarkan cerita-cerita nenek ini. Meskipun ada beberapa cerita yang sudah dihafalnya, tak apalah fikirnya. Nenek di Malaysia juga senang sekali mengulang cerita perjuangannya. Tanaka-san juga tak pernah bosan mengulang kenangannya ketika masih bersama-sama suaminya. Sepuluh tahun dipisahkan oleh ajal ternyata tidak membuatkan dia lupa akan memorinya. Semua kenangan itu masih hidup di benaknya. Raudah sering takjub dibuatnya. Bagaimanapun ada juga beberapa ceritanya yang membuat Raudah dapat belajar banyak didalamnya. Tentang keunikan budaya dan sosialisasi mayarakat Jepun, misalnya atau tentang tips-tips mengharungi ranjau kehidupan.

Pohon sakura berjajar di tepi taman. Sayang bunganya masih belum berkembang, namun kuncupnya sudah mula nampak. Biasanya pada ketika sakura sedang bermekaran Raudah akan lebih suka bermain ke taman, tentu saja di manfatkannya waktu senggangnya. Dia suka memandang bunga bersemu merah jambu itu. "Allahu akbar, Allah maha besar....", gumamnya setiap kali memandang bunga yang cantik itu. Di taman itu juga awalnya Raudah mengenal Tanaka-san. Nenek tua yang sering menghabiskan waktunya di sana sambil memberi makan merpati-merpati liar di taman. Melihat burung-burung itu berebut-rebut makan roti membuatkan pandangan Raudah sungguh mengasyikkan sekali.

Raudah tidak mampu melupakan peristiwa ketika nenek ini terkejut sekali melihat penampilan berjilbabnya pertama kali. "Kenapa kau menutupi rambutmu yang indah itu?" tanyanya atau, "kenapa warna tudungmu berbeza dengan kemarin?" .Sulit bagi Raudah menceritakan bagaimana Kak Dini, senior kelas pelajar muslim satu-satunya di kampus mereka telah banyak membimbingnya menggapai hidayah itu. Unik sekali, di negara yang majoriti penduduknya non-muslim ini membuatkan Raudah menemukan cahaya itu. Sinarnya begitu indah. Entah mengapa dulu tidak diabaikannya hidayah itu.

Mama dan semua keluarganya di Malaysia juga sempat menentangnya ketika Raudah menceritakan keinginannya memakai tudung. Alhamdulillah, dengan berkat kesabarannya menjelaskan sedikit demi sedikit dalam surat-suratnya, dan usahanya melakukan sujud panjangnya ditengah malam. Mama luluh juga hatinya. "Terima kasih Ma.." esaknya di telefon ketika akhirnya ia mengizinkan. Mama memang menaruh harapan besar terhadap Raudah, puteri sulungnya. Apalagi ketika Raudah menang dalam pertandingan penulisan hadiah belajar bahasa Jepun yang telah diadakan di kampusnya sempena bulan Mencintai Bahasa Jepun. Kuliah semester dua di Fakulti Kedoktoran akhirnya ditinggalkan buat sementara waktu.

Raudah memutuskan untuk tidak pulang ke tanah air ketika kursusnya berakhir. Beberapa bulan dia sempat bekerja mengumpulkan dana untuk meneruskan kuliahnya di Jepun. Dia bekerja di sebuah restoran untuk menampung kos keperluan hidupnya. Hanya itu peluang yang ada. Musim dingin merupakan musim yang paling sukar dia hadapi, apalagi sambil berdiri sepanjang waktu melayani pembeli. Namun Raudah masih beruntung, tidak lama setelah itu permohonan biasiswanya diluluskan. Sekarang dia di semester 4 kedoktoran di sebuah universiti terkemuka di Jepun, dan setahun yang lalu dia memutuskan untuk menutup auratnya. Hidayah itu menembus seluruh relung-relung dalam hatinya.

Sejak itu juga, nenek ini bertanya banyak perkara tentang Islam kepadanya . Dia tidak mampu menyembunyikan kesusahannya ketika dia berada dalam bulan Ramadhan. Tepat di akhir Ramadhan nenek ini menelefonnya "Raudah-san apakah kamu susah dan memerlukan pertolongan?.." Raudah selalu tersenyum setiap kali dia ingat kejadian itu.

Ufs...Raudah cepat menarikkan selimutnya. Matahari sudah tinggi benar. Cahayanya masuk di celah-celah jendela menghangati setiap sudut yang ada. Membaca bahan-bahan kuliah semalam membuat dia terlalu letih. Apa boleh buat Raudah berhempas pulas lagi selepas solat subuh tadi. Pada hari minggu membuatkan matanya segera terbuka. Raudah teringat janjinya kepada nenek untuk menemaninya ke taman. Sakura sedang bermekaran bahkan sudah sejak beberapa waktu yang lalu. Sayangnya sudah beberapa hari ini Raudah sibuk di kampusnya. "walaupun agak terlambat, hari ini dia berjanji, dan dia perlu tunaikan" ujarnya perlahan serentak membuka jendela kamar luas-luas. Dari jendela kamarnya di lantai 4, dia dapat melihat atap dan sebahagian kecil rumah nenek.

Tidak lama kemudian Raudah keluar. Rumah nenek yang biasanya sunyi dan lengang kelihatan agak ramai dengan orang berlalu lalang. Ada desir dalam dadanya. Cemas yang melintas di benaknya terjawab seusai dia mendengar suara ambulans dan deringan telefon Etsuko mengkhabarkan, nenek menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa saat yang lalu. "Nenek....." Raudah tersedu disudut kamar. Ada sesal yang dalam, ada sesuatu yang hilang.

Musim semi masih mensisakan dinginnya. Pagi masih belum beranjak benar. Tudungnya melambai-lambai perlahan. Langkahnya longlai dan perlahan.. Hatinya perih dan tidak tertahan. Suara nenek terngiang di telinganya "Mengapa wajahmu teduh sekali sejak tudung itu engkau kenakan. Saya ingin menjadi Islam. Saya ingin sekali merasakan ketenteraman yang sering engkau ceritakan...".

Tiba di tepi taman, Raudah merasakan kekosongan hatinya yang tidak terkira. Semua kenangan bersama nenek terus muncul. Sesal dan sedih bertumpuk dalam hatinya. Dia tidak lagi mampu mencerna apa yang dia rasakan. Semua berkecamuk menjadi satu. Apalagi ketika Etsuko mengkhabarkan semalam tentang upacara pembakaran nenek yang telah selesai dilaksanakan.

Sakura sudah mulai berguguran. Satu demi satu kelopaknya berjatuhan ke permukaan bumi. Tanah yang basah kerana hujan semalam membuat bunga-bunga itu tidak lagi bersinar. Semuram Raudah yang menunduk dalam sambil meninggalkan taman. "Maafkan saya Nek....." bisiknya perlahan seraya mengusap sudut matanya yang basah.