Wednesday, 4 November 2009

CintaMu Yang Lebih Utama




Perlahan –lahan Asma masuk ke kawasan rumahnya ikut pintu belakang. Perlahan dia membuka pintu dapur. Dia berjingkat-jingkat menuju ke biliknya.

“ Asma!”

Ups! Suara Mama!

“ Asma ni dah keterlaluan! Kenapa Asma pakai tudung lagi! Ha, Kenapa? Asma tak serik lagi dah kena dengan mama semalam. Berani Asma membantah cakap mama! Mama kandung Asma sendiri! Dasar anak derhaka!!!”, pekik mama sambil memukul- mukul aku dengan tangannya. Tangannya yang satu lagi menarik dengan kuat tudung yang dipakai Asama.

“ Mama…sakit…Astaghfirullah…”, seru Asma dengan lemah.

Dagu dan lehernya berdarah terkena goresan peniti yang dipakainya di tudung.

“ Mak Jaaaah! Mak Jaaaaaah!!”

“ Ya…Datin”, sahut Mak Jah pembantu rumah mereka.

“ Bakar semua tudung dan jubahnya! Anak degil”.

Asma Tersentak! “ Mama, maaf, tapi mama tidak ada hak melakukan semua itu, Semua itu hadiah dari kawan – kawan Asma”, rayu Asma.
“ Bakar semu Mak Jah! Jangan peduli apa yang dia kata!”

“ Tapi…Datin”.

“ Tak ada tapi-tapi. Ikut arahan aku”. Marah mama.

Langkah kaki mama kuat. Dia menghentak-hentak menuju ke bilik tidur Asma. Dengan kasar mama menarik-narik pakaian di dalam almari puteri tunggalnya itu. Jubah, baju kurung, tudung, stoking tangan dan kaki, semuanya mama ambil!

“ Bakar ini semua Mak Jah!” jerit mama.

“ Ja…jangan mama! Jangan….”.

Mata Mak Jah nampak merah. Sebentar lagi air matanya akan turun.

“ Baik aku yang bakar sendiri! Tengking mama.

Petang itu semua jubah, baju kurung, tudung dan stokin kaki dan tangan Asma menjadi abu di halaman hadapan rumah

Tiga bulan lalu, Asma dan kawan-kawannya mengikuti pengajian bulanan yang diadakan oleh Ketua pemimpin Persatuan Agama Islam di sekolah mereka. Waktu itu telah memberi kesan pada hati dan diri Asma dengan apa yang disampaikan oleh Ustaz Nazri, guru agama mereka yang baru itu. Ustaz Nazri banyak membahaskan soal dan masalah remaja Islam masa kini dan penyelesainnya. Dan…tiba-tiba saja Asma merasakan semua itu menyindir dirinya. Begitu dalam.

“ Konsep wanita solehah itu, Masya Allah…”, kata Ustaz Nazri.

“ Mereka adalah seorang wanita yang mampu menyelesaikan segala masalah, berdaya guna bagi dirinya sendiri, bagi keluarganya, bagi masyarakat dan umatnya! Wanita yang diredhai oleh Allah! Allah dan Rasulullah adalah kekasih sejatinya baginya”.

Dan …entah mengapa Asma terasa…, selama ini dia tidak berdayaguna untuk dirinya sendiri. Apalagi untuk orang lain. Dia bukan larut dalam kebaikan, tetapi dalam kesia-siaan! Malah untuk menjaga diri dari amarah juga dia tidak mampu…bukan hanya tidak mampu, namun juga tidak pernah berusaha untuk itu!

Dan ketika di akhir pengajian Ustaz Nazri bertanya kepada semua, siapa yang mahu menjadi lelaki soleh dan wanita solehah, serta merta Asma menjerit, “ Saya, Ustaz! Doakan saya ye!”

Hanya Asma seorang yang menjerit. Kemudian sepi.

“ Aaamiiin, terdengar suara Ustaz Nazri dari balik tabir surau, diikuti sahutan teman-teman Asma lelaki dan juga perempuan.

“ Saya betul-betul ni. Kamu jangan tak nak percaya. Saya harap sangat kamu semua mendoakan saya! Tak baik tau ketawa pada orang yang mahu bertaubat!”

Kawan-kawan Asma ketawa seketika.

“ Kamu ni macam tak percaya saja dengan kata-kata saya? Kata Asma dengan nada sedih.

“ Bukan tak percaya, Cuma kami gembira sangat dengan keputusan kau ni. Mudah-mudahan kau akan tetap teguh dengan keputusan ini”, balas Balqis teman sekelas Asma yang baru dua bulan memakai tudung.

Seminggu selepas itu Asma mantap mengenakan jubah. Cantik sekali. Bukan hanya budak-budak sekolah terkejut, malah satu kampung!

Bayangkan…, Asma? Asma Diana Datuk Akmal Farouk, wakil sekolah dalam pertandingan karaoke peringkat daerah dan negeri sekarang ini sudah memakai tudung. Siapa yang tidak kenal dengan Asma, pelajar kesayangan guru-guru, bintang di antara bintang di sekolahnya, selalu menjadi juara dalam pertandingan badminton. Dan juga satu-satunya awek yang berjaya merebut hati Faizal, lelaki idola ramai pelajar perempuan di sekolah mereka…? Asma…?

Sekarang ini Asma semakin mantap dan kuat semangat. . Dia tidak mahu hidayah yang datang daripada Allah itu tercabut dalam hati dan sanubarinya. Hidayah itu kini semakin mencengkam dalam dirinya. Dia tidak mahu lagi menunda sesuatu hal yang jelas membawa kebaikan. Perintah Allah!

“ Mama tak setuju kamu pakai pakaiaan seperti orang kampung atau lebih namapak macam orang tua. Mama tidak dan tidak pernah akan setuju dengan tindakan Asma ni!” kata mama, seminggu sebelum Asma membuat keputusan untuk memakai tudung.

“ Ma…Itu bukan pakaian seperti mana mama maksudkan. Ini pakaian seorang muslimah”, jawab Asma lembut.

“ Kamu cuba tengok, ramai hajjah-hajjah tak pakai tudung, mama pun tak pakai…apa mereka tu bukan muslimah? Mama ni juga bukan seorang Islam…!?

“ Bukan macam tu maksud Asma. Ma…Asma Cuma nak…”

“ Mama tak peduli. Asma. Yang penting mama tak nak anak mama kelihatan seperti seorang yang aneh. Apa kata orang, apa kata kawan-kawan mama nanti bila melihat Asma tertutup macam tu”, kata mama lagi. Tapi kali ini lebih lembut sambil membelai rambut Asma.

“ Rambut Asma ni kan cantik…Asma kena sedar semua tu.”

“ Sebab Asma sedarlah mama, Asma bertindak macam tu…!” balas Asma.

“ Dah, dah. Tak payah lagi kita cakap tentang itu. Bagi mama, yang penting kita kena berbuat baik selama hidup di dunia ini. Itu yang penting. Tudung tu tak pentuing. Buat apa kalau pakai tudung tapi hati busuk. Munafik namanya tu”.

“ Tapi ma, bertudung tu perintah Allah. Kita sebagai seorang muslimah yang baik perlu menyesuaikan diri dengan tudung kita”, jawab Asma.

“ Sudahlah mama kata. Mama nak pergi latihan aerobic ni. Nak ikut tak? Ramai kawan-kawan mama yang nak jumpa dengan kamu. Sudahlah, jangan fikir sangat tentang tu”, mama mencium kedua-dua pipi Asma dan berlalu pergi

“ Mak Jah, kalau datuk balik suruh dia makan dulu. Jangan tunggu saya. Mungkin saya balik lambat”, pesan mama.

Hari itu juga, di meja makan Asma berbual-bual dengan papanya.

“ Apa? Pakai tudung. Tak payah! Asma kan anak papa…, kalau anak ustaz, lainlah cerita”, kata papa.

“ Kalau Asma tetap nak pakai tudung juga macam mana, papa?”

Papa terdiam seketika. Dia memandang Asma dengan penuh tajam.

“ Apa yang papa larang tu untuk kebaikan Asma, sebab papa sayangkan Asma. Jangan nak malukan papa pula. Bagaimana dengan masa depan Asma nanti. Nak kerja kat mana? Pondok? Nak kahwin dengan siapa? Dengan ustaz-ustaz pondok?”

“ Silap tu pandangan papa, ramai muslimah yang pakai tudung menjadi usahawan berjaya, berkahwin dengan doktor, malah dengan arkitek…kan semua itu kerja Allah. Bagi Asma kalau jodoh Asma dengan guru pondok sekalipun, Asma terima, papa. Apa yang penting bagi Asma dia boleh membawa Asma ke syurga Allah…”

“ Kamu cakap apa ni Asma? Papa tak suka dengar macam ni”, kata papa sambil menepuk meja dengan kuat.

Namun tekad Asma sudah kuat. Dia mesti memakai tudung. Akhirnya dia pergi ke butik Busana muslimah dan membeli beberapa helai pakaian, lengkap dengan tudung dan sarung kaki. Dia rela menghabiskan wang perbelanjaannya untuk semua itu.

“ Hari pertama memakai tudung, Asma datang sekolah begitu awal. Balqis juga datang awal untuk membantu Asma memakai tudung. Di rumah, cuma Mak Jah seorang saja yang tahu. Papa sudah dua hari ke Perak, atas urusan kerja, mama pula belum lagi bangun tidur semasa aku keluar dari rumah dengan memakai tudung. Ketika pulang dari sekolah, Asma akan mengindai dari celah-celah rimbunan pokok pam di depan rumahnya untuk melihat sama ada mama dan papa tidak ada di luar. Apabila sudah sampai hampir dengan halaman rumah, baru Asma akan menanggalkan tudungnya dan memasukkanya di dalam beg.

Lega. Biasanya pada waktu Asma pulang dari sekolah, mama masih lagi berada di pejabatnya.

Seminggu Asma memakai tudung tanpa pengetahuan papa dan mamanya.

“ Bagaimana dengan kursus tarian kamu tu Asma? Tanya mama suatu hari.

“ Auntie Zaleha Tanya kamu pada mama. Katanya dah hampir dua bulan kamu tak datang”.

“ “ Asma nak berhenti sajalah”, jawab Asma tegas.

“ Apa? “ Mama terkejut. “ Dulu kamu yang paksa mama daftarkan!”

“ Asma dah tingkatan lima, mama. Banyak kerja sekolah sekarang ni”, lagipun tak lama lagi Asma akan menduduki peperiksaan SPM”, elaknya. Namun, hari berikutnya, ketika Asma dengan selambanya masuk ke rumah kerana melihat kereta mamanya tidak ada di halaman rumah…, Asma benar-benar terkejut!

Mama dengan mata tercegil seperti harimau mahu membaham mangsanya memandang Asma di sofa ruang tamu.

“ Assalamualaikum”, sapa Asma.

Mama diam.

“ Kamu dari mana? Pengajian?”

“ Dari sekolah, Ma”.

“ Buka tudung kamu! Bukaaaa!!! Sekarang dah pandai melawan cakap orang tua ye! Anak derhaka! Tak tahu hargai kasih sayang! Tengking mama secara tiba-tiba.

“ Mama, maafkan Asma, ma…, Asma sayang mama, tapi Asma mesti mengikut perintah Allah…” air mata Asma mengalir.

“ Kamu…ka…mu…”, mama memegang dadanya, lalu jatuh ke lantai. Mama pengsan.

“ Mak Jah! Mak Jaaaah! Mama, Mak Jaaaaaah! Jerit Asma dengan panik.

“ Mama kamu kena serangan jantung”, kata Doktor Ijan. “ Dia terkejut, Apa yang mengejutkannya?’

Asma menggelang, “ entahlah doktor, mungkin mama terkejut lihat ini”, kaya Asma sedih sambil memegang tudungnya.

Doktor Ijan mengerutkan dahinya dan tersenyum. “ Jaga mama kamu baik-baik”.

Malam itu papa mengamuk dan menggunting dua helai tudungku yang tergantung di belakang pintu bilik. Suaranya keras! Asma nampak sekali takut.

Keesokan paginya sebelum mama dan papa bangun, Asma sudah pergi ke sekolah. Dengan deraian air mata, dia ceritakan semuanya kepada Balqis.

“ Perlukah aku tanggal saja tudung ini Balqis, untuk selama-lamanya? Aku dah tak tahan mendengar kata-kata anak derhaka dari mulut mama dan papa”, suara Asma lemah.

“ Istiqamah Asma. Kau perlu teguh! Sabar! Kuat!” pujuk Balqis untuk menguatkan hatinya. “ Ini ujian dari Allah!” kata Balqis lagi sambil menghulurkan sebuah bungkusan hadiah besar.” Tudung dan baju kurung dari kawan-kawan…”

Semalam papa memukul Asma. Perkara yang tidak pernah dilakukan oleh papa terhadap Asma. Papa menampar Asma berkali-kali hanya kerana melihat dia pulang petang tadi dengan memakai tudung. Waktu itu memang Asma baru sahaja selesai mengikuti kelas agama di sekolahnya. Dia tidak menyangka papa pulang awal petang itu. Malah papa juga telah menuangkan minyak tanah ke atas semua tudung Asma. Asma hanya mampu beristighfar berulang kali dan menangis. Mak Jah juga menangis, mama Cuma memandang sambil mengurut-urut dadanya!

Selesai solat Maghrib , mama masuk ke dalam bilikku. Cuba untuk berbual-bual dengan Asma.

“ Asma minta apa sahaja mama akan turuti, tapi janji jangan pakai tudung lagi macam orang kampung tu! Apa saja! Mama dan papa bercadang nak hantar Asma ke England. Kalau perlu esok juga mama belikan Asma kereta, supaya senang Asma nak pergi ke sekolah dan jalan-jalan. Kan senang kalau Asma ada kereta sendiri. Tak perlu susah-susah lagi naik bas sekolah.

“ Asma tak perlu semua itu mama, Asma cuma mahu ,mendekatkan diri dengan Allah SWT”, balas Asma pelahan.

“ Yang penting kita bertakwa, Asma”, kata mama.

“ Tudung itu adalah realisasi takwa, mama”.

“ Buang tudung-tudung tu ye”, pujuk mama lagi.

Asma cuma diam.

Malam ini Asma bangun dan solat malam. Dia berdoa agar Allah membuka hati mama dan papa, dan semua orang Islam…agar mereka lapang menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah…atau minimanya tidak menghalang mereka yang ingin melaksanakan ketetapan daripada Allah.

Dan hari ini semuanya telah dibakar oleh mama. Mama tidak mahu lagi aku memakai busana muslimah itu.

“ Ikut sajalah apa yang mama dan papa cakap. Redha Allah tu kan bersama dengan redha orang tua kita. Asma kan orang Bandar, orang moden, sesuailah dengan apa yang datin dan datuk nakkan tu”, kata Mak Jah.

“ Kita hanya perlu taat kepada orang tua selagi mereka tidak menuruti hawa nafsu dan tidak menentang Allah Swt, Mak Jah”,

“ Ya, ya, Asma”.

“ Itu kata Al Quran Mak Jah. Asma tak nak Mak Jah juga menyokong pendapat mama dan papa”, tegur Asma.

“ Baiklah Asma. Badan kamu yang biru dan bengkak-bengkak tu biar Mak Jah sapukan ubat ya”, minta Mak Jah.

Asma mengangguk. Air matanya menitis ke pipinya. Dia mengesat air mata itu dengan satu kekuatan.

Keesokkan pagi badan Asma tiba-tiba menggigil. Dia demam. Dan itu juga alasan yang baik untuk dia tidak datang ke sekolah ( jubah dan tudungnya sudah habis dibakar ).

Mama dan papa tidak pergi ke mana-mana. Mereka menjaga Asma . Doktor Ijan datang dan merawat Asma. Katanya Asma Cuma demam biasa.

Petang itu Asma terdengar suara Faizal di ruang tamu. Asma menjadi pelik. Kenapa pula Faizal datang? Kan ke dah putus? Fikir Asma. Tiba-tiba saja Asma menjadi takut kalau-kalau mama dan papa menyuruh Faizal melihat keadaan diriku yang terbaring di dalam bilik…atau dia yang menyuruh Faizal datang ke sini! Jujur, Asma menjadi risau seketika…, tapi…astaghfirullah, Asma istighfar. Seharusnya Asma tidak boleh berfikiran seperti itu.

“ Masuk saja ke dalam, biar Auntie temankan”, suruh mama.

“ Tak apalah Auntie, kirim salam saja pada Asma”.

“ Salam sayang? “ kata mama.

“Salam Islam, Auntie, dengan lafaz assslamualaikum, salam jihad juga buat dirinya, cepat sembuh! Saya balik dululah Auntie”.

Asma ketawa di dalam bilik. Alhamdulillah, ini beerti Faizal juga sudah mengikuti kelas agama di sekolah, tapi yang pentingnya dia juga sudah banyak berubah.

Tiba-tiba terdengar suara gemerisik dari sebalik jendela…

“ Ssst…, Asma…Asma…Sssst!”

Asma membuka jendela biliknya. Subhanallah Balqis dan Jameah!

“ Jubah dan tudung ala kadar. Terima kasih pada Faizal sebab membuatkan mama dan papa kamu sibuk! Jaga diri, istiqamah!”.

Asma tersenyum bangga. Bangga kerana mempunyai sahabat-sahabat yang begitu setia. Dia bangun dari tempat tidurnya dan menyimpan dengan baik semua pemberian kawan-kawannya itu.

Asma masih demam. Tapi pagi-pagi lagi dia sudah berangkat ke rumah Balqis dan rancangannya akan terus pergi ke sekolah. Mak Jah yang tahu berada dalam ketakutan. “ Asma…, hati-hati. Mak Jah risau nanti datuk dan datin tahu!”

“ Doakan saja saya , Mak Jah. Petang nanti saya pulang. Saya ke sekolah dulu”, kata Asma sambil mencium tangan Mak Jah.

“ Hati-hati…perasaan Mak Jah macam tak sedap saja ni”.

Di sekolah, Asma disambut dengan penuh kegembiraan oleh kawan-kawannya. Rindu, kata mereka. Padahal Asma baru tiga hari tidak datang ke sekolah. Asma sempat menoleh kearah Faizal. Faizal Cuma tunduk dan diam ketika bertemu.


Jam sudah menunjukkan pukul satu setengah petang, loceng sekolah berbunyi. Asma baru sahaja selesai menyimpan peralatan-peralatan sekolahnya. Tiba-tiba dia terpandang papa yang sudah siap mencekak pinggang di hadapan kelas.

“ Balik!!!”

“ Pa..Pa..”

“ Mama menunggu kamu di kereta! Cepat! Kata papa.

Pelajar-pelajar lain cuma memandang .

Dengan tenaga yang kuat, papa menarik tangan Asma.
Beberapa peralatan sekolahnya jatuh bertaburan. Tapi papa tidak peduli…, papa terus menarik Asma…

“ Pa…pa…!”

“ Anak derhaka! Buat malu orang tua saja! Derhaka!

“ Pa…”, rayu Asma.

Asma berasa malu dengan tindakan papa. Semua pelajar menyaksikan kejadian itu.

“ Buka tudung kamu! Buka! Semua orang perlu tahu kamu mempunyai rambut yang cantik! Nanti mereka ingatkan kamu tu botak! Buka!” tangan papa menarik kuat tudung Asma . Asma meronta-ronta

“ Jangan pa…jangan! Jangaaaaaaaan !! Astaghfirullah!”

Tapi papa tidak peduli! Ditariknya tudung Asma dengan kuat. Akhirnya tudung itu terlepas dari kepala Asma! Dagu dan sebahagian lehernya luka lagi terkena tusukan peniti! Papa terus mengheret Asma melewati koridor sekolah…

“Sabar, datuk! Sabar!” kata Ustaz Nazri.

“ Asma anak baik, kebanggaan kami, jangan buat dia macam ni”.

“ Awak jangan masuk campur! Ini urusan keluarga!” kata papa kasar. “ Jom pulang papa kata! Pulang!!

“ Uncle…, “ suara Faizal. Sabar Uncle!”

Asma menangis. Sekarang semua orang melihatnya tanpa bertudung, juga Faizal! Tiba-tiba perasaan malu menebal dalam dirinya dan hatinya! Astaghfiullah…!

“ Kamu jangan masuk campur , Faizal!”

“ Jangan buat Asma macam tu! Faizal melemparkan alas meja kepada Asma. Asma cepat-cepat menutup bahagian kepalanya dengan alas meja itu.

“ Kamu semua sama saja!” kata papa.

Asma tiba-tiba terlepas dari genggaman papa, segera berlari melewati pintu gerbang sekolah. Alas meja itu masih membungkus kepalanya! Asma masih terdengar suara Balqis, Jameah dan kawan-kawan yang lain yang menyuruhnya istiqamah…hatinya pedih…mama berjaya mengejari Asma dan dengan paksa mama memasukkan Asma ke dalam kereta.

Sepanjang perjalanan pulang mama tidak henti-henti mencubitnya, dan papa tidak henti-henti memarahainya.

“ Kalau mama tahu kamu pakai lagi tudung ke sekolah, mama akan datang ke sekolah kamu tanpa memakai busana!kata mama.

Asma tersentak seketika!

“ Dan Asma jangan lagi menjadi anak tunggal papa, kalau hanya untuk memalukan papa, papa tidak keberatan untuk ambil anak angkat menggantikan kamu”, ugut papa.

Hati Asma seperti dihempap batu yang besar.

Sampai di rumah, semua jubah dan tudung kembali dibakar oleh mama dan papa tanpa ada yang luput.

“ Mama dan papa buat semua ni sebab sayangkan Asma”, kata papa akhirnya sambil mencium pipi Asma.

“ Apalagi Asma adalah satu-satunya puteri papa dan mama”, kata mama sambil membelai rambutku.

Asma cuma diam. Terkilan.

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa Asma sangat sayang mama dan papa…, tapi…apakah untuk membuktikan kecintaannya, dia harus menanggalkan busana muslimahnya dan kembali seperti dulu? Ya Allah…, berat benar cubaan Mu ini…? Rintih Asma.

Selesai solat malam, Asma membungkus tiga buah buku dengan rapi. Buku tentang kisah Mus’ab bin Umair, Muadz bin Jabal dan Saad bin Abi Waqqas. Kisah tiga orang tokoh sahabat Nabi Muahmmad SAW yang beriman dan menganut agama Islam dengan mendapat tentangan yang pelbagai daripada orang tua mereka. Asma mahu mama dan papa membacanya, agar mereka meyedari bahawa nikmat beriman dan Islam itu tidak dapat ditukar dengan apapun…Bahkan dengan dunia dan seisinya.

Asma juga menulis surat untuk mama dan papa. Menyatakan bahawa Asma sangat menyintai mereka, tetapi seperti firman Allah dalam surah Taubah ayat 24, seperti juga yang disampaikan oleh Ustaz Nazri, sesungguhnya Allah adalah cinta atas segala cinta. Dia perlu menurut kepada orang tuanya sebatas dengan tidak melakukan maksiat. Sebatas dengan tidak menghalanginya untuk beribadah kepada Allah. Tidak menghalangnya untuk bertudung ( AN NUR : 31 dan AL AHZAB : 59 ) Dan dia sedar bahawa cinta itu perlukan pengorbanan. Begitulah hidup. Berulang kali juga Asma menegaskan bahawa dia sangat cinta kepada papa dan mama…tetapi kecintaan kepada Allah itu sudah selayaknya jauh lebih besar dan tidak terhingga. Dan dia berharap suatu ketika mama dan papa sedar dan boleh menerima dia dan apa ada padanya.

Selesai solat subuh, Asma sibuk mengemas beberapa helai pakaian untuk bekal ala kadar. Dia kan pergi untuk sementara. Entahlah ke mana? Mungkin ke rumah Balqis atau Jameah…atau ke rumah ustaz Nazri dan isterinya…atau ke rumah bapa saudara. Wang yang Asma ada tidak seberapa…, tapi untuk sebulan insya Allah cukup. Dia tidak mahu menyusahkan ramai orang.

Udara pagi ini sungguh dingin. Asma membuka jendela kamarnya luas-luas. Dia mengenakan sweater, jubah dan pakaian sekolahnya serta stoking kaki. Dia sudah tidak peduli dengan penampilannya kini. Dia harus pergi.

Ya, dia harus keluar melalui jendela. Kunci pintu rumah hanya ada pada mama dan papa sahaja.

Seketika Asma merenung di depan jendela kamar yang terbuka luas itu. Haruskah dia pergi? Dia perlu tetap dengan bertudung! Mampukah dia terus bertudung dan berada di rumah ini? Rasanya dia tidak mamapu. Dia harus pergi…ya walau sementara! Membawa hatinya yang luka.

Ma, pa sayang

Asma pergi untuk sementara. Asma akan pulang selepas hati ma dan pa terbuka untuk membenarkan Asma terus bertudung…Maafkan Asma, ya. Ya Allah…ampunilah kami agar kami dan semua orang Islam selalu lapang dalam menerima apa yang KAU tetapkan atau seminimanya tidak menghalang mereka untuk terus melaksanakan ketetapanMu. Amin…

Peluk cium,
Anakanda Tercinta, Asma Diana.

Hati Asma tersentuh. Dingin udara pagi seolah menjadi tidak bererti. Tapi Asma tahu dia tidak sendiri. Astaghfirullah…bismillah…diteruskannya langkah di tengah hujan pagi.

Tabahkan hatiku, ya Robbi….!!!

Wednesday, 28 October 2009

NIL MENGALIR SONGSANG

SHAM,

Nil masih lagi mengalir tenang, sekalipun hakikatnya tidak pernah reda dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyatnya. Aku seperti Nil itu. Khabarku masih baik. Cuma hidungku ini masih selesema bahana ribut pasir Khamasin yang mengamuk di Kaherah dua minggu lalu. Langit kemerah-merahan sebelum menjadi gelap-gelita. Hatta, ramai yang menyangka kiamat akan berlaku apabila siang bertukar malam serta-merta.



Sememangnya aku harus terkejut menerima kunjungan warkahmu beberapa hari yang lalu. Empat tahun tanpa sebarang berita memaksa aku beranggapan bahawa engkau tidak lagi mengenangi diri ini. Ya, zaman menengah yang manis - sebelum bergelar mahasiswa - telah kita tinggalkan. Kini aku menghampiri tahun akhir pengajian. Tinggal di Hayyu Sabi'e bersama dua orang temanku. Kalut juga memikirkan panggilan pulang yang kian menjelang datang. Harapan ayah ibu, keluarga, orang kampung, sewaktu mahu berangkat ke sini dulu, semakin acap terngiang. Dan sewajarnya aku tertarik dengan suratmu yang masih semesra dulu. Banyak persoalan yang kau lontarkan - terutama tentang Bumi Kinanah ini.

Sekadar yang ku mampu, akan ku beritahu. Lantaran, sekalipun telah lebih seribu hari aku di sini - selaku seorang wanita - tidak semua tempat wajar kujejaki. Kehidupanku berlangsung sekitar Hayyu Sabi'e, Hayyu Thamin, Hayyu A'shir, Kaherah, dan universiti. Mahu bicara tentang apa ya? Membalas keluhanmu di dalam surat terhadap senario pemimpin arab, biarlah aku menyentuh tentang fenomena di sini, terutama sejarah negara ini. Sejarah Republik Arab Mesir yang bermula apabila berlakunya revolusi pimpinan Gamal Abdul Nasser. 23 Julai 1952 adalah tarikh keramat yang menyaksikan tumbangnya institusi beraja kuku besi selama ini. Beliau mati awal 70-an, seterusnya digantikan oleh Anwar Sadat yang menandatangani Perjanjian Camp David sebelum menemui ajalnya di tangan pengiringnya Khaled Islamboli - harga yang harus dibayar di atas perjanjian tercela itu. Pun begitu, Al-Azhar kekal unggul sebagai institusi ilmu Islam terulung sejak satu mileneum.

Biarpun menghadapi serangan pemikiran Barat yang menggila, yang cuba menggugat kestabilannya, namun para ulama tetap bersatu mempertahankannya. Siswazah-siswazah berketrampilan masih berjaya dihasilkan saban tahun untuk kembali memimpin umat di segenap pelosok dunia. Sehingga ke hari ini, Muhammad Sayid At-Tantawi masih lagi menerajui al-Azhar. Ah, tokoh Syeikhul Azhar yang seorang ini.

Barangkali kerana fatwanya yang sering kontroversi, para pelajar lebih mengenang kepergian Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawie yang tawaduk itu. Sebetulnya aku baru saja selesai imtihan. Bukan lagi Daur Mayu macam dulu, tapi Al-Azhar sudah beberapa tahun mempraktikkan sistem semester.

Cuti ini tidak ke mana-mana. Masa akan kuhabiskan dengan menghadiri kelas-kelas tafaqquh di samping menyertai program-program persatuan. Kala dalam pengajian inilah sebaik-baik masa untuk menyiapkan diri menghadapi masyarakat kelak. Setagal lagi, ada tanggungjawab yang menanti. Jadi, usah terlupa, aku ingin mendengar cerita-ceritamu pula dari Lembah Urdun.

Menikmati hasil kepekaanmu meladeni senario pergolakan di rantau sebelah sini. Nilofar Kaherah 29 Jun 1999 Sham masih terkasima apabila menerima surat bercop Madinah Nasr, Kaherah itu. Semacam tidak percaya. Penantiannya selama ini berakhir juga.

Dia tersenyum sendiri. "Alhamdulillah. Ada harapan…," bisiknya perlahan, antara dengar dengan tidak. Wajah lembut menawan bermata jeli segera memenuhi ruang mata. Dia belum betah melupakan kemesraan silam, apalagi membiarkan ia terpadam. Uzair yang ralit membaca, sempat menangkap kalimat itu. "Harapan apa?" Sham menunjukkan sampul surat bercorak papirus buatan Mesir. Uzair masih lagi belum faham. Tanpa sebarang jawapan, dengan senyuman yang masih melebar, Sham menghadapi monitor, dan terus sahaja membalas: Nil, Terima kasih. Aku juga tidak percaya engkau masih menganggapku sebagai sahabat, walaupun sekian lama terpisah jauh.

Aku masih lagi mengenang dunia persekolahan yang riang. Yang nyata, jarak bukanlah pemisah yang berupaya mengasingkan kita. Nostalgia silam masih terkulum kemas. Aku bersetuju dengan kata-katamu. Ya, seharusnya kita yang berada di Timur Tengah peka dengan kemelut rantau yang senantiasa bergelora ini. Jadikan ia iktibar paling mahal dalam rangkaian pengalaman sepanjang hayat. Aku tertarik amat dengan perbicaraanmu tentang Perlembahan Nil dan sosiopolitiknya. Walaupun ringkas, namun padat intinya.

Tetapi, apa kurangnya di Bumi Isra' ini? Mungkin engkau hanya mengenali Jordan sebagai negara yang rajanya berketurunan Rasulullah SAW, dan punya permaisuri yang demikian jelita. Sejarahnya, sosiopolitiknya, masa depannya, tidak seindah yang disangka. Malah khalayak selalu disogokkan dengan penipuan dan lakonan yang bersinambungan. Jordan asalnya tidak wujud. Yang ada hanyalah Sungai Jordan yang terletak dalam Palestin. Namun, sejurus berlakunya Revolusi Besar Arab, dan tersungkurnya Khilafah Uthmaniyyah di tangan Kamal Attaturk, sejarah asalnya tidak boleh dipakai lagi.

Hasil penjajahan Barat dan perpecahan arab, negara-negara di Asia Barat wujud begitu pesat. Maka, muncullah Arab Saudi, Jordan, Syria, Lebanon, dan Palestin (belum dicampur negara-negara di Teluk). Dan semestinya tidak ramai yang ambil tahu penyelewengan fakta sejarah ini malah tidak mengenali siapa sebenarnya pengasas negara Jordan ini - Syarif Hussin. Seperkara lagi, negara bersistem monarki ini, terlalu kerap bertukar Perdana Menteri. Melucukan. Serasanya, hingga kini jumlahnya hampir mencecah angka 40 sejak kemerdekaan Jordan pada 1946. Pimpinan yang tidak serasi dengan politik rajanya, akan dicantas bila-bila masa.

Aku bermastautin di Irbid, bandar ketiga terbesar di negara ini, 40 km dari sempadan Jordan-Israel. Penempatan yang hampir dengan kampus membolehkan kami berjalan kaki ke kuliah. Dengan jumlah pelajar Melayu yang kian susut tahun demi tahun, tidak sukar untuk kami mengenali setiap penuntut di sini. Dan semestinya kefasihan Lughah Arabiah lebih terjamin memandangkan Jordan tidak seteruk Mesir, Arab Saudi, dan negara-negara arab lain yang punya lahjah sendiri dan pekat 'ammienya.

Peluang untuk bertutur bahasa arab fushah terbuka luas. Namun segalanya bertolak dari diri kita juga - kebijaksanaan kita memanfaatkan suasana. Kembali berbicara soal Dataran Syam; tidak sah tanpa menyentuh Yahudi - bangsa terlaknat zaman-berzaman.

Kebencian terhadap Yahudi terlalu membuak di hati. Malah aku tinggal berjiran dengan pemuda Palestin yang punya memori ngeri. Satu keluarganya ditembakYahudi, dan dia jadi pelarian. Di sini, setiap hari melihat tampang Yaser Arafat yang berucap terketar-ketar di televisyen akan membibit rasa jelak yang tidak sedikit. Kami tidak pernah percaya dia akan membela bangsanya, sebaliknya mengkhianatinya. Lelaki nasionalis-sekularis tua itu tidak pernah menguntungkan Islam.

Apabila membaca buku 'Al-Yahudiyyah' tulisan Dr. Ahmad Syalaby, kau akan tahu betapa jijiknya bangsa paling pengecut itu. Betapa halusnya dan telitinya jarum-jarum dan strategi mereka. Kau tentu pernah mendengar tentang gagasan Israel al-Kubra, dari Nil hingga ke Furat; juga pertubuhan seperti Rotary dan Lions yang didalangi Freemason. Agen mereka ada di mana-mana.

Tetapi yang lebih menyedihkan adalah pemimpin-pemimpin arab yang kurasakan lebih hina dan munafiq. Jangan terkejut jika aku pernah membaca betapa Gamal Abdul Nasser itu pengkhianat besar (pastinya sumber ini tidak didapati di Mesir) yang telah bersekongkol dengan Yahudi di balik tabir. Memang dia politikus yang pendiam, tetapi oportunis dan licik. Malah ada kajian yang mendakwa latar belakangnya diragui. Dia berdarah Yahudi? Nil, tentunya kau dapat mengesan emosiku yang naik memuncak bila berbicara soal kemelut di Timur Tengah.

Pastinya sudah lumat kau telan hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya berbunyi: "Barangsiapa yang tidak 'ihtimam' terhadap hal ehwal orang-orang mukmin, maka ia bukan dari kalangan kami." Aku sebetulnya terlalu sedih dengan suasana pergolakan di sini. Sandiwara bodoh yang dilakonkan oleh munafiq moden dalam penjajahan bentuk baru. Perang Salib sebetulnya belum lagi berakhir.

Akhir-akhir ini aku kian kerap membaca tentang Mesir. Gerak hati mahu ke sana, tetapi segalanya baru perencanaan. Rasanya, tidak salah kiranya aku mahu melawat Medan Tahrir tempat Sofia Hanim Zaghlul dan Huda Sha'rawie mencetuskan "Tahrir al-Mar'ah", Piramid dan Sphinx di Giza, Kota Solahuddin di Iskandariah, dan menyaksikan pertemuan dua laut di Dumyat - di samping menziarahi teman-teman seperjuangan. Dan aku juga mahu kembara mencari suatu kepastian!

Shamsul Azly

Irbid 14 Julai 1999

II

"Jadi kau ke Mesir cuti soifi ni?" Sham mengangguk. Tangannya mencapai sekeping surat yang diunjukkan Uzair. Melihat tulisan tangan di sampul, sudah tahu daripada siapa. Terasa tidak sabar mahu mengetahui isinya. "Ramai lagi akhawat di sini, masih memilih yang Azhariah? Tarbiahnya 'kan sama." "Sama tapi tak serupa. Yang pertama itu lebih membekas di jiwa," jawab Sham dalam nada selamba, seraya tergelak kecil melihatkan sahabatnya menggeleng-geleng. "Aku ada membaca: Sungai Nil mengalir songsang. Betul?" tanya Uzair lagi sebelum berlalu. Sham sengih. Soalan itu tidak menarik perhatiannya. Dadanya berdebar-debar kencang. Tanpa lengah, bucu surat dikoyak, lalu isinya dikeluarkan.

Dia mula membaca: Sham, Benarlah, seperti katamu, kepekaan adalah deria yang paling mahal. Justeru, aku membalas suratmu ini, biarpun naluriku semacam kurang enak. Kepastian apakah yang kauinginkan? Aku kagum dengan kepekaan dan kesedaranmu yang sampai tahap itu. Nyata thaqafahmu jelas mantap, dan siapa sangka boleh membantu menolakmu suatu hari nanti menjadi politikus terkemuka, atau paling tidak penulis politik. Ya, pokoknya kemahuan dan keikhlasan dalam perjuangan. Majalah Al-Wa'yu Al-Islamie yang ku beli kelmarin menyebut tentang gerakan Ikhwanul Muslimin di pelosok Tanah Arab, tanpa menyatakan pergerakan pertubuhan itu di tempat kelahirannya - Mesir. Ia gerakan atau 'harakah' mujaddid Islam yang pertama selepas terkuburnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1924. Gerakan yang menghidupkan kembali kewajipan jihad dan berusaha menegakkan daulah Islamiyah di maya pada ini. Diasaskan di Ismailliyah oleh As-Syahid Hasan al-Banna pada 1928. Jelasnya, Hasan bukanlah seorang filsuf, tetapi daya pemikirannya dan tahap kefahamannya terhadap Islam mendahului zamannya.

Kitab "Majmu' Rasa'il Hasan al-Banna" ada menjelaskan dasar pemikiran dan idea-idea bernasnya. Namun, dunia Islam dirasakan terlalu awal menyaksikan kematian mujaddid kurun ke-20nya ini lewat 12 Februari 1949. Ah, semua pendokong gerakan Islam semestinya mengingati peristiwa pembunuhan beliau di hadapan ibu pejabat pertubuhan Syu'banul Muslimin oleh mereka yang kemudiannya terbukti dari kalangan Polis Rahsia Mesir. Mengusik tentang dua dataran ini, sering peranan mahasiswa menjadi persoalan. Soal kita yang bergelandangan ke mari untuk mengutip ilmu-ilmu Allah.

Segalanya bertolak dari niat. Tapi niat itulah yang selalu disalah terjemahkan. Masih ramai yang ke Timur Tengah untuk mengejar segulung syahadah, tanpa memikirkan betapa thaqafah Islamiyyah dan pengalaman berorganisasi sangat penting. Pembentukan sahsiah da'ie sewajibnya bermula di sini - sekadar tazkirah untuk kita bersama. Akan tetapi, engkau kurasakan masih lagi Sham yang aku kenali.Yang kental semangatnya, berjiwa besar, juga iltizam dengan prinsip dan dasar perjuangan. Dan aku terus-terusan segan dengan persahabatan ini. Sejak zaman persekolahan, malah sehingga kini, aku masih gagal mengatasimu dalam bidang apa pun. Semakin panjang surat ini kukarang, semakin terasa bersalahnya. Mungkin inilah suratku yang terakhir, justeru usah aku kau hubungi lagi.

Engkau belum mengerti, Sham, bahkan aku sendiri begitu berat untuk memahamkanmu. Kemalangan telah membunuh kedua orang tuaku dalam sekelip mata. Kami kehilangan tempat bergantung. Adik-beradikku dibela oleh saudara-mara. Dan aku sendiri tidak tahu hitam putih masa depanku, lantas merelakan diri ini… biarpun aku sebenarnya belum bersedia. Akhbar hari ini menyebut, Hosni Mubarak mengugut Sudan yang dikatakan terlibat dalam konspirasi membunuhnya lewat letupan bom berhampiran istananya baru-baru ini. Sedihnya.

Sesama negara Islam yang berjiran - malah berkongsi air Sungai Nil- masih lagi bercakaran. Namun Nil kekal seperti dulu. Mengalir songsang dari selatan ke utara. Menerima apa saja yang berlaku di perlembahannya. Pun aku seperti Nil itu. Pasrah. Menerima seorang 'Azhari' untuk memimpin si yatim piatu yang masih samar-samar hari depannya ini, dan menemaniku sepanjang hayat. Sham, teruskan perjuanganmu. Maafkan dan lupakan aku. Aku bakal isteri orang! Nilofar Kaherah 26 Ogos 1999 Sham melipat surat dua helai yang baru selesai dibacanya.

Tubuhnya bergetar, disandarkan ke kusyen. Menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Dia berdiri, melangkah masuk ke kamar,dan menghempaskan tubuh di tilam. Atmanya sedikit terusik. Dalam hati diam-diam mengakui.

Benarlah, Nil itu mengalir songsang!


Sunday, 11 October 2009

WARKAH TERAKHIR DARI RAMALLAH

MEMORI keakraban antara aku dan Jihad masih segar di kotak ingatan. Meski setelah tiga tahun lalu perpisahan menjadi tamu, sekaligus menjarakkan kemesraan yang baru memutik. Nostalgia menyusur denai-denai ilmu di Jamie' Al-Azhar menerpa. Membasuh keresahan menghabiskan pengajian di rantau orang di universiti yang terkenal sebagai kiblat ilmu itu. Betapa indahnya saat lalu, meski ia tidak betah berulang kembali. "Tinggallah bersamaku." Ujarku setelah berkenalan dengan Jihad kali pertama bertemu dengannya di perkarangan masjid Husin.
"Tak usahlah." Balas Jihad menolak. "Tak mengapa, lagipun bukanlah asing mendiami sebuah rumah dengan ahlinya berbeza negara." Aku meyakinkan walaupun pada mulanya aku agak keberatan lantaran menjadi kelaziman para mahasiswa Malaysia tinggal dengan rakan senegara. Setelah berittifaq aku membawa Jihad pulang ke rumah dua bilik yang ku sewa di Madinah Nasr itu. Bermulalah episod persahabatan antara kami.
Jihad seorang sahabat yang akrab dengan muallafat. Berketrampilan sederhana dan zuhud sifatnya. Melazimi puasa sunat Isnin-Khamis dan qiyamullail. Pernah sekali aku mengusik hamasahnya meratah thaqafah dan mengungguli muallif lantaran cemburu yang terbina. Namun, Jihad tetap sabar dan istiqamah. Padanya safar ilmu di Ardil Kinanah ini adalah peluang yang tidak mungkin diperolehi setiap jiwa yang lahir di daerahnya. Benarlah kata Jihad. Safar ilmu itu terlalu mencemburinya. Baru setahun menjadi warga Al-Azhar sekaligus teman serumahku, dia terpanggil pulang ke daerah asalnya. Dalam kepasrahan aku melepaskan Jihad pergi. Semalam, kepulanganku ke kediaman di Madinah Nasr mengetuk tirai emosi apabila Muslim, teman serumahku menyerahkan sekeping sampul surat yang dikirimkan dari Ramallah. Tentu sahaja aku tidak akan salah meneka. Aku tidak punya sesiapa di Ramallah, kecuali Jihad. Setelah tiga tahun perpisahan merakam waktu baru kini warkahnya terutus. Kuratah setiap isi warkah Jihad dengan tenang.
Assalamualaikum warahmatullah... Sahabatku fillah, Kukira kau gembira menatap warkah bisu ini meski setelah tiga tahun sepi membaluti persahabatan kita. Ukhwah yang pernah kita bina kuharap masih mekar seperti dulu. Lantas sebagai seorang sahabat. kuterbangkan doa dari bumi Isra' ini agar hidupmu bahagia. Akhi, Kala kau dan teman-teman meratah thaqafah di halaqah-halaqah ilmu, aku dan para satria di sini terhambat menyusun takhtit demi jihad yang satu. Ya, jihad fi sabilillah yang tak akan luput dari jiwa yang beriman. Meski kalian mengejar kefaqihan untuk berstatus ulamak kami terus berperang untuk menang atau syahid sebagai syuhada. Perjuangan kita tetap perjuangan suci murni yang kita warisi daripada mereka yang telah pergi. Ketahuilah sahabatku, tidak terlintas di sanubariku untuk mengabaikan persahabatan yang telah kita bina. Apa lagi jasamu menghulurkan pertolongan dan bantuan kewangan yang kau salurkan buatku menyebabkan aku terasa hiba hingga saat ini pun aku tak mampu membalasnya. Aku terhenti membaca isi warkah. Hiba mengusik. Ada manik jernih yang bertakung di kelopak mata. Kusambung kembali dengan warkah tetap kemas di genggaman. Setibanya aku di Ramallah aku teruji dengan kepergian seluruh ahli keluargaku yang gugur syahid di tangan seldadu Yahudi. Berita yang menyayat hati itu ku terima pasrah. Aku sudah tiada sesiapa kecuali setelah aku ditemukan dengan Abdullah seorang pejuang HAMAS yang kemudiannya membawaku bersama jemaah itu. Kau tentu tahu bukan, setiap perkhabaran di sini? Ku kira media sentiasa melaporkan. Justeru tidak perlulah kiranya ku riwayatkan kesemua kisah-kisah itu. Cukuplah sekadar menceritakan persepsiku semenjak menganggotai HAMAS, sebuah pertubuhan intifada yang dilabel George W Bush sebagai kelompok 'terrorist', sedang Ariel Sharon yang menyembelih hampir 3000 jiwa umat Palestin dalam tragedi Sabra dan Shatila sewaktu menjadi menteri Pertahanan Israel dilabel sebagai pejuang keamanan. Kau lihat! Tribunal dunia barat menghakimi kita. Sharon celaka itu hanya di'pujuk' melepaskan jawatan ketika itu tetapi akhirnya dipilih semula menjadi Perdana Menteri menggantikan Ehud Barak serta meneruskan onar, sedangkan tiada sebarang tindakan untuk membela umat Islam Palestin. Meskipun berpemimpinkan seorang amir yang cacat, bukanlah jidar yang menghalang hamasah kami pengikut Syeikh Ahmad Yassin itu. Sebagai ganti kecacatan beliau Allah telah menganugerahkan berpuluh ribu kaki dan tangan pejuang Islam. Syeikh intifada itu kujadikan idola untuk membebaskan bumi Palestin ini. Api jihad sering menyala-nyala saban khutabahnya berkumandang di Masjid Al-Abbas, Masjid Ashnati dan Masjid Izzuddin Al-Qassam mengingatkan umat Islam Palestin kembali berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kita tidak mungkin boleh menaruh harapan lagi kepada perjuangan Arafat. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sepatutnya telah lama berundur dari memperjuangkan keamanan dan pembebasan Tanah Suci ini lantaran perjuangan mereka semenjak 1964 itu adalah bersifat kebangsaan dengan paksi sekular. HAMAS yakin PLO adalah boneka sekular. Persis OIC dan Liga Arab yang saban waktu mengatur penipuan demi penipuan. Apa yang 57 buah negara anggota OIC sebagai pertubuhan kedua terbesar di dunia itu telah lakukan untuk Palestin? walaupun asalnya diasaskan di Rabat, Morocco pada 25 September 1969 sebagai menyatakan sensitiviti terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969. Sementara mereka berdrama Gaza, Jenin dan Ramallah terus berdarah. Belum lagi melihat sandiwara Liga Arab yang sering tidak ada kata putus yang meyakinkan. Lantaran intifada yang digerakkan Syeikh Ahmad Yassin pada 1987 beliau menerima bayaran perjuangan itu dengan hukuman penjara seumur hidup yang diputuskan oleh mahkamah Israel. Syeikh Ahmad Yassin menderita. Namun perjuangan mustamirrah. Beliau terus meyakinkah kami para anggota HAMAS supaya menolak perjanjian damai yang dimetrai oleh PLO dengan Zionis Israel. Akhi, Mengakhiri wakrahku kali ini ingin kupetik kata-kata Syeikh intifada itu yang seringkali menjadi pembakar semangatku. Beliau dengan tegas pernah berkata: "Kami bersumpah bahawa kekejaman dan kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan membuatkan kami mundur setapak pun dan kami akan terus menetang Zionis kerana Allah akan menolong kami. Kami berseru, percayalah dan bersatulah merebut kembali jalan-jalan, kota danmtanah Palestin. Berjihadlah sampai mencapai kemenangan atau mati syahid di jalanNya." Sahabatmu, Jihad Jamal Ramallah Warkah itu kulipat kembali seusai membaca baris terakhir. Peluh memercik keluar di dahi kukesat dengan lengan kemeja. Keinsafan bertamu di laman hayat. Pasca kepulangan Jihad ke Tanah Palestin aku meneruskan pengajian dalam fakulti Syariah Wal-Qanun bersama teman-teman yang lain seperti biasa. Sayang sekali keputusan imtiyaz tahun pertama yang dirangkul Jihad berakhir tanpa disudahkan pengajian hingga tahun empat. Kini aku dalam debar menanti keputusan tahun akhir sambil-sambil mengintai majlis ilmu dan bertalaqi dengan para syeikh. "Aku sukakan membaca karya Said Hawwa. Antara yang paling menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan yang hebat dalam jiwaku adalah sebuah kitab kecilnya yang berjudul "Hazihi Tajribati wa hazihi Syahadati." di mana memaparkan kisah hidup perjuangan penulis sendiri." Kalam Jihad bagai terngiang di telingaku. Aku hanya mengiyakan tuturnya. "Selain itu tulisan-tulisan Syed Qutb juga sering membangkitkan hamasahku," sambung Jihad. Jihad menyedarkan aku tentang pengajian. Himbauan nostalgia bersamanya membuatkan muallafat di kutubkhannah fakulti kuratah dengan jitu. Minat yang mendalam dalam bidang Syariah meruntun penguasaanku dalam segenap lapangan ilmu terutama Fiqh dan Usulnya. Justeru kuhadam pelbagai kitab turath mahupun muasarah. Tanpa melupakan silsilah harakie sebagai 'mahar' perjuangan. Antaranya silsilah Said Hawa, Fathi Yakan, Al-Qardhawi dan sebagainya menjadi teman pengganti ruh membaca yang pernah diasas Jihad. Tulisan-tulisan Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Muhd Abdullah Al-Khatib, Ali Abdul Halim Mahmud, Abdul Qadir Audah, Mustaffa Masyhur, Zainab Al-Ghazali, Al-Mawdudi dan ramai lagi kujadikan iftar selepas quranul fajr. Aku mencapai beberapa keping kertas A4 dan pen untuk membalas warkah dari Ramallah itu. Assalamualaikum Warahmatullah... Sahabatku Jihad, Warkahmu selamat kuterima dan kufahami isinya. Aku bersyukur, kau masih mengingati persahabatan dan ukhwah yang kita bina. Ku kira tidak sia-sia kitab Fiqh Ukhwah yang pernah kita diskusikan bersama suatu ketika dahulu. Dan seperti biasa aku juga turut mendoakan kesejahteraanmu dari Lembah Nil ini. Semenjak 1987 lagi tika laungan intifada menggegarkan langit Palestin, HAMAS telah kukenali. Waktu itu aku masih di marhalah ibtidaie. Kalau kau mahu tahu guru besarku dengan lantang pernah berucap di perhimpunan rasmi sekolah seraya melancarkan tabung bantuan kepada intifada Palestin. Apalah yang aku miliki waktu itu selain semasa saku seluar kuseluk wang syiling bernilai 50 sen cuma. Namun kerana itu sahaja yang barangkali mampu untuk menampung perjuangan intifada Palestin aku masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang dilancarkan. Semangatku tika itu membuatkan aku terpaksa mengikat perut dan hanya mencicip air dari paip besi. Itu kisah hampir 16 tahun yang lampau. Kisah seorang anak kecil menilai sebuah perjuangan. Bukan kisah seorang mahasiswa membaca tragedi dan peristiwa. Demi menyatakan sokongan yang mustamirrah itu, aku bersama teman-teman di sini melancarkan muzaharat aman dari Jamie Al-Azhar seusai solat Jumaat saban minggu. Kami melaung-laungkan pembebasan dan keadilan untuk Palestin. Ketumbukan kami itu tidak disenangi pihak keamanan. Akibatnya aku dan enam teman lain terberkas, ditahan dan disoal siasat. Mujurnya tiada kesan terhadap pengajian kami di Al-Azhar.
Peluang meladeni kitab-kitab ilmu membantuku memahami pengertian jihad sebagai tiang keizzahan Islam. Kau jangan hairan andai kukatakan masih ada ulamak yang tidak mengiktiraf perlakuan meletupkan bom yang kalian amalkan sebagai amaliyat istisyhadiah. Sebaliknya mereka melabelkannya sebagai intihar. Namun aku yakin pendapat yang menyatakan perlakuan itu adalah jihad dan matinya beroleh syahid adalah benar dan tepat. Benar seperti apa yang kau coretkan. Kita tidak boleh berharap kepada PLO, OIC mahupun Liga Arab kerana dasar perjuangan mereka tidak berlari di atas garisan yang sama dengan perjuangan kita. Lihatlah betapa kemenangan imprealis membina empayar. Biarpun mereka pulang ke negara mereka namun jajahan pemikiran berterusan. Barangkali wajar aku suarakan betapa penderitaan yang kalian hadapi di Palestin, penyembelihan di Kosova, pemerkosaan di Bosnia, Pembantaian di Poso, penindasan di Kashmir, Pergelutan di Afghanistan dan penyerangan terhadap Iraq adalah harga untaian kifarat kealpaan umat Islam mengembalikan khilafah Islamiah setelah runtuhnya Turki Uthmaniah pada 1924. Pun begitu bukanlah niatku hendak menyalahkan kesemua umat Islam lantaran derita-derita itu kerana masih ada sinar-sinar Islam dinyalakan melalui jemaah dan harakah Islamiah serata dunia. Akhi, Nampaknya perjuangan perang salib kita masih belum berakhir. Kau tentu lebih arif mengenai sejarahnya. Apakah kita masih menunggu akan lahirnya Solahuddin Al-Ayyubi yang kedua? Ku kira tepat ujaranmu. Perjuangan kita adalah satu. Jihad fisabilillah tanpa menghitung bangsa. Meski aku dilahirkan di sebuah perkampungan Melayu di Malaysia, Palestin tetap adalah tanggungjawabku. Tanpa mengira bangsa kerana ad-Deen itu satu! Kuakhiri warkah ini dengan rasa syukur dan terharu kerana persahabatan kita terhubung kembali. Takdir Allah menentukan segalanya. Dialah yang mempertemukan kita di atas keimanan dan Dialah juga yang memisahkan kita di atas ketaqwaan. Semoga kita akan terus berutusan. Oh ya, untuk pengetahuanmu aku akan menamatkan pengajian sarjana muda tidak lama lagi. Doakan imtiyaz. Sahabatmu dunia akhirat, Solahuddin Soleh Kaherah Selang hampir dua minggu kuterima warkah balas dari Jihad. Namun isinya terlalu hambar. Isinya tidak sebagaimana yang kuharapkan. Assalamualaikum warahmatullah... Sahabatku, Syukran kerana membalas suratku. Aku semakin tidak punya masa untuk menulis sebanyak boleh untukmu. Namun kugagahi jua mencuri waktu yang terluang untuk kucoretkan pesanan buatmu supaya perjuangan yang pernah kita bina di Lembah Nil suatu waktu dulu akan terus subur sesubur ingatan ku terhadapmu. Tahniah kerana bakal bergelar graduan. Aku doakan imtiyaz buatmu. Namun... pesanku teruskan jejak untuk mengejar impianmu untuk menjadi mujtahid umat. Ingat! Tugas dan amanah yang terpikul di bahumu perlu kau lunaskan dengan ikhlas. Akhir kata dariku... mabruk! Semoga kejayaan agam itu akan kau gunakan di tempat yang sewajarnya. Sahabatmu,
Jihad Jamal Ramallah Natijah imtihan keluar hari ini. Aku bersama Muslim bergegas ke Fakulti untuk melihat natijah masing-masing. "Mabruk Solah!" Ucap Taufiq sewaktu melihatku menuju ke arahnya. Jantungku berdegup semakin kencang. "Izai" Soalku dalam loghat 'ammiah berbasa-basi. "Ya Rab!" Aku menyapu muka dengan telapak tangan tanda syukur kemudian bersegera ke musolla untuk membuat sujud syukur. Muslim juga tersenyum dan dia dan Taufiq saling mengucap mabruk. Hari ini adalah majlis graduan mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang menyudahkan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai fakulti. Aku menyarung jubah graduan dengan penuh rasa syukur. Majlis diadakan di Dewan Haflah Kubra dengan diserikan kehadiran Rektor Al-Azhar untuk upacara menyampaikan ijazah dan anugerah. Alif mahasiswa dari Al-Azhar cawangan Tanta menghampiriku. Sambil bertanya khabar dan mengucap mabruk bersilih ganti. Muslim menghampiri kami dan menghulurkan sekeping sampul dari Ramallah kepadaku. Namun aku agak sangsi kerana tulisan di atas sampul itu agak berlainan daripada tulisan Jihad. Kuusir prasangka lantas membuka sampul itu. Assalamualaikum warahmatullah, Surat ini dikirimkan untuk Akhi Solahuddin Soleh untuk memaklumkan berita tentang sahabatmu bernama Jihad Jamal yang telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat lalu akibat diserang Zionis Yahudi seusai mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Khalil. Tabahlah wahai sahabat dan sewajarnya kau bergembira kerana kepergiannya sebagai seorang syuhada'. Sebagai melunaskan pesanan dan kata-kata yang sempat dituturkan pada pagi Jumaat itu kepadamu maka surat ini aku kirimkan meskipun aku sendiri tidak pasti sama ada akan sampai atau tidak pesanan ini. Kata As-Syahid Jihad Jamal: "Sebaik sahaja kalian mendengar berita syahidnya aku, dongaklah ke langit... lantaran kecintaanku untuk bertemu Allah, lantas Allah muliakan dengan kematian yang mulia." Sahabatmu dan Jihad,
Abdullah Saufi Ramallah Aku mendongak ke langit melepaskan doa semoga Jihad dianugerahkan syahid di sisi Allah. Itulah warkah terakhir dari Ramallah. Di depan sana...majlis telah lama bermula. -TAMAT-

Sunday, 4 October 2009

DARAH MERAH AQSA

BERITA jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca. Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang itu juga. Topik yang sentiasa menjadi pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.

Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan!

Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan buku. Sebuah
radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang seakan-akan maya. Lama. Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah airnya semacam melimpah.

“Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang wajah tua yang putih bersih.

“Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu berkaca.Syeikh Mahfodz tersenyum.

“Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal.

Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya

terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra’, ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”

Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat. Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah. Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid. Pengajian politiknya akan berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering terpanggil.Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya. Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia menziarahi Palestin buat kali pertama.

Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya sepinggan humus dan falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan segera terisi. Ziyad menceber. Irama arab cukup dibenci. Faudho.

“Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai dengan kau. Dia Masihi.Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel.

Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang menjadi rakan sekuliah.

“Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al-Mujtama’. Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak helaian demi helaian.

“Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.

“Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali lagi.

“Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi. Ingat sikit, sejak Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama’ dicampak ke tepi. Dia tidak

setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

Ziyad tersenyum polos.

“Adik, barangkali kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma’mun ada di sana. Mereka juga keluarga kita kan.”

“Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal Jun nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang masih berbaki diteguknya sekali.

“Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas dan melangkah ke kamar.

Thariq terkasima. Memandang roti, humus,dan falafil yang terbiar. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.

* * *

Makcik Sarah menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak saudaranya. Pakcik Ma’mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

“Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan.

Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih. Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya. Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

“Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma, selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

“Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja

Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat dengan lakonan Barat. Sandiwara mereka tidak pernah tamat. Macam-macam muslihat yang dibuat.

“Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa. Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita … kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma’mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab

tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian bermaharajalela. Rakyat jugalah yang menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya lagi nak berintifadhah. Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.”

“Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu barangkali sudah bekerja.

“Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma’mun tertancap pada jam di

dinding.

“Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya. Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur dengan lelaki ajnabi.

Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan. Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat umum di Hebron. Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat penempatan Yahudi di sana.”

Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia mahu merasai sendiri derita Palestin yang sekadar didengar sekian lama.

“Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di kepala; mirip Hassan al-Banna. Tampak berani dan cekal.

Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan berdemonstrasi.”

* * *

Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi. Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin ditinggalkan di belakang. Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.

‘Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa Haikal’.

Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab. Tadi, semasa tiba di Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu. Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran.

Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada 1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

“Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.” Munzir yang tadinya ralit berzikir menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama. Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga sepemergiannya.

Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir. Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan ‘Al-Khalil’, atau Hebron dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

“Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

“Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya semakin deras.

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer

kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti. Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya menutup muka dengan kain serban; mengelak dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia menjadikan suasana agak bingit.

Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati. Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala itu, matahari bersinar terik. Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggara sesekali mencium pipi. Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan kami,” tutur Munzir. Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. Tidak lagi bertarbus. Yang nampak, hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka, lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu kecil. Mereka berdua hampir sebaya. Tetapi sepupunya nyata jauh lebih matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik Munzir di telinganya sambil menguntum senyum.

Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut. Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju ke arah mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. Beberapa orang lagi yang gagal melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan; membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran penduduk asal Arab dikesan lebih awal. Tentu ada yang jadi tali barut. Wajahnya membersut geram.

Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru. Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir.

“Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah.

Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.

* * *

Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di jendela kamarnya. Pandangannya dibuang ke luar. Telinganya menangkap suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang. Sejak tadi, dia tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa.

----------------------