Wednesday, 30 September 2009

TERDAMPAR DI DARUL TAQWA

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.
"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman."
Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.
"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.
Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.
"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.
Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.
"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali."
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?
" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh.
2
"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.
"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula.
Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.
"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "
"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa."
Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.
"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."
Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.
"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..."
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.
"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.
3
Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ...Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :
"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"
Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.
"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."
"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".
Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.
"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."
"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.
Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan.
"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.
"Ya ! Apa peliknya?",
"Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.
4
Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.
"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan.
Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.
" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja
"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati.
Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ...malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.”
“Oh...!” keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.
Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran.
"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah sebelum kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi.
"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram.
"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!”
5
"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan.
"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."
"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.
"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.”
Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.
Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.
Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: RAJA'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI….. Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.
"Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..."
"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.
Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji,"
"Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.
6
Kemudian getaran suara bergema
.... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung
mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta.......
stanza hati merindu Ilahi!"
Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..."
Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah."
"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."
" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."
"Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.
Pemandu bullet train berserban merah tersenyumkepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegakpapan iklan dengan tulisan yang jelas :"KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.
Isy,meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.
"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !"
Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr. Johar.
7
"Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya..."
"Habis, mereka mahu apa?"
"Mereka mahu Islam, Datuk!"
"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.
"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG. ITULAH JANJI ILAHI"
"Pasakkan Thabat Teguhkan Istiqamah"

Wednesday, 16 September 2009

KAU YANG TAK MENGERTI....

12 Januari 2004. Hari bahagia aku dan Sumayyah.


Dari jauh kelihatan kelibat seseorang yang amat aku kenali. Ya, susuk tubuh itu tidak mungkin kulupakan. Hafiz,ya tidak salah lagi.

“Assalamu'alaikum, tahniah Di…Alhamdulillah…ke jinjang pelamin jugak kau ye..Di…!!!” Sapanya membuang segala persoalan di benakku. Tangannya kugenggam erat. Lalu tubuhnya ku peluk erat. Syukur kerana Hafiz datang, sahabatku yang sekian lama kucuba hubungi, namun setelah 3 tahun menghilangkan diri, atas usahaku mencari alamatnya dari kawan-kawan sekuliah lama, akhirnya di sini kami kembali bersua, di majlis perkahwinan aku dan isteri tersayang. Alhamdulillah.

“Apa khabar kau sekarang Fiz?” Ku sapa wajah pucat dan kurus Hafiz. 3 tahun. 3 tahun masa yang lama memisahkan kami. Setelah sama-sama menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanik di Universiti Malaya, masing-masing membawa diri membawa haluan sendiri.

“Alhamdulillah..aku macam kau tengok sekaranglah, Di..nothing interesting to tell…sekarang aku ambil phD di UTM, baru bulan lepas aku register..” Panjang lebar cerita Hafiz.

“Alhamdulillah..hmm..bakal jadi lecturer la Encik Hafiz kita ni, ye..? Eh, ko lepak rumah aku lama skit le ye…nak sembang panjang sekarang paham-pahamlah..sibuk ni..” Terpaksa ku bantutkan perbualan kami di situ. Tiada masa untukku berborak panjang dengannya. Ditambah lagi dengan tetamu yang makin ramai hadir. Kawan-kawan lama juga ramai berkunjung. Haikal, Siti, Wan dan Pa’e…semua antara kawan sekuliahku yang hadir ke majlisku ini…syukur ku tidak terkata..dapat berjumpa kawan lama, mengimbas kembali saat kami sama-sama menuntut ilmu di Universiti Malaya..ah..mana mungkin aku melupakan setiap saat ku habiskan di menara ilmu itu..pelbagai pengalaman, suka dan duka..ku kutip dan kusimpan rapi di lipatan kenangan.

Hampir pukul 11 malam, barulah segala-galanya selesai. Biasalah, kenduri. Banyak yang perlu dibereskan selepas majlis tamat. Kulihat wajah isteriku juga tampak penatnya. Aku dan Sumayyah sebenarnya sudah bernikah dan kami sudah pun berpindah ke rumah baru kami ini sejak 2 minggu yang lalu. Kerana masing-masing sibuk, maka majlis perkahwinan kami terpaksa ditunda sehinggalah ke hari ini.

“Pergilah tidur dulu Mai..nanti abang menyusul…abang nak borak skit dengan Fiz..lama tak sembang dengan dia..” Kasihan kulihat Sumayyah sejak tadi asyik menguap. Letih benar dia.

“Hmm..baiklah. Abang pun jangan lewat sangat tidur ye..walaupun esok cuti pun..kene rehat juga..” katanya sambil tersenyum manis.
Aku mengangguk pantas sambil memerhatikan Sumayyah melangkah lambat-lambat menuju ke kamar tidur. Mak dan abah sudah lama melayan mimpi indah di tingkat atas.

Lantas langkah ku atur menuju ke ruang tamu. Hafiz masih leka membaca majalah I terbaru. TV masih terpasang, namun focusnya kupasti bukan pada peti kaca tv itu. Khusyuk kulihat Hafiz membaca.

“Husyy..bukan main khusyuk!!” Aku menepuk bahu Hafiz. Hafiz sekadar tersenyum tenang. Hafiz telah banyak berubah. Kalau dulu tubuhnya agak berisi, sekarang betul-betul kurus. Rambutnya juga dipotong ala-ala tentera. Kemas. Janggut makin panjang dan wajahnya kulihat cukup tenang. Namun di sebalik ketenangan itu, aku pasti ada sesuatu yg bermain di fikirannya.

“Heh..aku tak sempat beli majalah ni, Di..tengok-tengok ada pulak kat umah ko…ape citer ko plak? Citerla camne ko leh jumpe idaman hati ko?” Hafiz bersuara sambil tersenyum nakal.

“Alah..biasa-biasa je Fiz..semuanya mak dan abah aku uruskan..satu negeri jugak…aku ni bukannya memilih sangat. Tak bergaul pulak tu. Ko tau kan..aku ni kan ke pemalu..chewah..entahla..semua aku serah pada Allah..dan suruh mak dan abah aku aturkan…aku setuju je..baik pada mereka..baiklah pada aku…” Aku menjawab panjang. Tidak apa-apa yang istimewa sebenarnya. Ya, sememangnya Sumayyah istimewa..tetapi titik pertemuan kami bukanlah ada kisah cinta hebat umpama Romeo dan Juliet. Biasa-biasa sahaja. Dan aku selesa begitu. Biarlah cinta kami disuburkan selepas ikatan yang sah.

“Hmm…aku tau ko Di..paham sangat…ingat dulu anti perempuan..kahwin jugak kau ya..?” Hafiz tak habis-habis mengusikku.

“Hei…banyak cakap pulak dia..ko tu bile Fiz, umur dah 27 dah..!!” Aku memulang paku serpih.

“Aku..?? Entahlah…budak sekolah tak boleh kahwin..belajar dulu sampai abis..baru pikir bab kahwin..” Selamba Hafiz menutur bicara. Ada sedikit lucu dalam kata-katanya.

“Belajar..belajar juga Fiz..bab ni jangan lak dilupakan..salah satu sunnah Nabi kita..jangan lak ko nafikan..” Aku mengingatkan. Hafiz tersenyum penuh makna. Ingin saja kuajukan soalan yang sekian lama terpendam di benak ini.

“Hm..entahlah Di…aku selesa macam ni”
“Ko…err..maaf nak tanya..ko still tunggu dia?”
“Siapa?”
“Hm…aku masih ingat..masakan pulak ko..ko tau kan sapa aku maksudkan?”

Suasana ruang tamu kembali hening. Cuma kedengaran bunyi tv sahaja.
“Hm..masih..masih menanti ..” Hafiz menjawab sambil mengangguk. Wajahnya kulihat suram. Tunduk sambil menganggukkan lagi kepalanya.

“Hm…ko ada jumpa dia ke?”
“Tak..tapi aku ada nombor phone dia..sejak peristiwa tu..itulah kali terakhir aku jumpa dia..kalau tak silap dia sekarang di USM”

“Sampai bila macam ni Fiz? Usahalah sikit. Kalau tak de harapan, ko carilah pengganti. Daripada ko dok diam macam ni..”

“Heh..aku dah cakap kat ko kan..aku ..so far..selesa macam ni..biarlah..aku dah berterus terang..aku dah usaha..ini adalah usaha terakhir aku. Menanti dan terus menanti..”

“Ko sihat?”

“Biasalah..kekadang asma aku datang..ala..cam dululah..”
“Sapa nak tengok-tengok kan ko Fiz..kalu kawin ada gak orang tolong jaga makan minum”
“Hah..mula la tu..hei..Di..aku ni pandai je la nak uruskan hidup aku ni…aku ok..dah 27 takkan la tak pandai nak urus diri”
“Aku cakap tak penahnye nak dengar”

“Aku suka dia, Di..aku cintakan dia..dari dulu sampai sekarang..tak penah berubah. Walau ramai yang aku jumpa..tak sama dengan dia. Dia lain Di. Tak sama. Unik. Aku tak kisah tunggu sampai bila pun…” Tiba-tiba Hafiz meluahkan rasa hatinya. Aku terdiam. Sama. Kata-kata inilah yang diucapkan olehnya 3 tahun lepas.

“Tak pelah Di. Aku balik dululah..lewat sangat”

Akhirnya Hafiz pulang malam itu juga. Puas kupujuk namun dia berkeras mahu pulang ke Cheras. Rumah kakaknya. Esok dia akan pulang ke Johor semula. Rasa bersalah menusuk di dada. Tak sepatutnya aku mengungkit kisah lama.

7 tahun dulu. 7 tahun dulu Hafiz tidak seperti Hafiz hari ini. Tidak pernah serius dan agak bermasalah. Malas ke kuliah. Kuat merokok. Solatnya juga tidak secantik hari ini. Menghayati perubahan diri Hafiz, melihat penghijrahannya yang besar ini, rasa syukurku pada Allah yang Maha Berkuasa tidak bertepi dan lagi rasa terhutang budi pada seorang insan yang istimewa. Insan yang mengubah pandanganku pada kuasa seorang perempuan. Sememangnya hawa itu madu dan racun pada adam. Dan aku amat mengakuinya. Di hadapanku kisah sebenar seorang hawa yang umpama sinar harapan pada seorang adam. Nur Zahirah yang umpama madu pada Muhammad Nur Hafiz.

Perkenalan tidak dirancang antara Hafiz dan Zahirah terjadi apabila aku yang menyertai Ekspo Konvokesyen UM 7 tahun dulu. Kebetulan Zahirah juga ahli exco. Maka kami selalu berurusan untuk menjayakan EKSKUM 1997. Oleh kerana aku tidak mempunyai telefon bimbit, dan kerana Hafiz rapat denganku dan juga teman sebilik, maka Zahirah selalu menghubungiku melalui telefon bimbit Hafiz. Aku juga yang memberikan nombor itu padanya, untuk memudahkan kerja kami. Dan Hafiz yang memang ku masak perangainya, suka benar mengusik kami berdua dan selalu juga menghantar SMS kepada Zahirah. Namun Zahirah tidaklah marah, sebaliknya dia dengan sabar melayan kerenah Hafiz yang agak nakal ketika itu. Sehinggalah Hafiz mengunjungi gerai PMIUM ketika pesta konvo berlangsung, pada ketika itulah Hafiz pertama kali bersua muka dengan Zahirah.

Agak terkedu kulihat Hafiz. Gadis yang selalu diusiknya itu bukan calang-calang orang. Zahirah pelajar tahun akhir pengajian Quran dan Hadith Akademi Pengajian Islam. Bertudung labuh dan bermini jubah. Gaya muslimah sejati. Namun kulihat Zahirah tetap ramah sopan bertegur sapa dengan Hafiz. Sejak itu kulihat Hafiz kerap kali menelefon Zahirah dan berbual panjang. Hafiz juga kulihat selalu menceritakan masalahnya kepada Zahirah. Oleh kerana Zahirah tua 3 tahun dari kami, dia kulihat cuba sedaya upaya berperanan sebagai seorang kakak. Sering memberi nasihat dan bimbingan kepada Hafiz. Apa yang mengkagumkan aku, Hafiz yang dulunya liat solat, telah berubah menjadi salah seorang jemaah yang sering mengimarahkan surau kolej kediaman kami. Alhamdulillah, dari situ kulihat Zahirah bukanlah gadis biasa. Walaupun dia fizikalnya kecil dari usianya, namun tindakan dan kesan tarbiyyahnya pada Hafiz benar-benar menggembirakanku.

Sehinggalah satu hari…

“Aku sukakan Zahirah, Di..serius..” Terkejut aku. Berserabut kepala otakku mendengar pernyataan Hafiz. Apakah benar bagai dikata?

“Serius…demi Allah aku sukakan dia, Di…aku tak pasti sejak bile perasaan ini muncul..yang pasti dia seolah-olah sebahagian dari hidup aku..”

“Ko kene berterus terang, Fiz..aku no comment..tapi ko tau kan..Zahirah tu macam kakak dengan kita..umur dia kan 3 tahun tua dari kita,kan? Takkanlah..”

“Dia tak bersalah, Di..dia memang anggap aku macam adik dia…sejak mula kami kenal lagi..sampaila sekarang…tapi aku je yang rasa lain bila bersama dengan dia..aku tak boleh tipu diri aku, Di..aku memang dah jatuh hati kat dia..” Bergenang air mata di kelopak mata Hafiz ketika menuturkan kata-kata itu. Sememangnya aku terkejut kerana tidak kusangka sama sekali Hafiz mempunyai perasaan yang begitu ‘jauh’ terhadap Zahirah. Apa pula kata Zahirah? Bolehkah dia menerima kenyataan ini?

“Akak tak boleh Zaidi..akak tak boleh terima..selama ni akak anggap dia macam adik sendiri..mana mungkin boleh lebih dari itu..” Lancar Zahirah menuturkan bicara. Aku terdiam. Apa yang perlu aku katakan. Aku umpama seorang penonton sebuah teater kehidupan. Apa yang aku mampu adalah mendapatkan keterangan sebenar kedua-dua belah pihak.

“Aku tak peduli, Di..aku cintakan dia!!! Lantaklah dia nak anggap aku apa pun!!!”
“Tapi tak boleh la macam ni..dia tak boleh terima..setakat adik tak mengapa”
“Aku tak mampu anggap dia akak aku, Di..she’s so special to me..she meant everything…ko paham tak?”

Akhirnya ku aturkan pertemuan antara keduanya. Zahirah masih dengan pendiriannya. Hafiz berkali-kali mendesak. Zahirah akhirnya menangis di akhir pertemuan. Hafiz pula terus sahaja meninggalkan kami pulang ke kolej. Sejak itu, hubungan aku dan Hafiz tidak sebaik dulu lagi. Dia terlalu kecewa. Hafiz berubah menjadi pendiam dan suka menyendiri. Namun dia masih lagi seorang kaki surau malah makin rajin ke sana setiap waktu solat. Bila ku tanya tentang Zahirah, Hafiz Cuma tersenyum kelat lalu meninggalkan aku penuh tanda tanya. Zahirah juga tidak dapat ku hubungi lagi.

Aku memahami kenapa Zahirah tidak boleh menerima Hafiz. Factor usia menghalang. Tindakan Hafiz umpama tamparan hebat baginya. Tidak aku nafikan Zahirah cantik orangnya, tampak muda dari usia sebenar.

Sejak itu hinggalah hari ini, ketika ini, genaplah 7 tahun kisah cinta tak berbalas ini terhenti begitu sahaja. Dan paling tidak kusangka sama sekali, sehingga hari ini, perasaan cinta Hafiz itu masih segar umpama 7 tahun dulu. Sungguh, aku kagum dengan perasaan indah itu. Betapa setianya Hafiz menanti dan terus menanti. Menantikan jawapan dan harapan Zahirah. Ku kira Zahirah mungkin sudah bertunang atau berkahwin sekarang ini. Dan Hafiz? Masih setia menanti. Untuk apa penantiannya itu? Berbaloikah?


“Bang, bangun. Ada panggilan telefon untuk abang”

Awal pagi. 2.30 pagi aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari Cheras. Hafiz terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke rumah kakaknya. Ya Allah, baru sebentar tadi kami berbual, Ya Allah. Jangan hendaknya berlaku sesuatu yang buruk hendaknya.


5.00 Pagi. Sesungguhnya nyawa itu pinjaman Allah untuk kita. Hafiz menghembuskan nafas terakhir di pangkuanku pagi itu. Ya Allah, Ya Allah…tabahkan hatiku menerima kenyataan ini..tempatkan Muhammad Nur Hafiz di sisi mereka yang beriman…amin!!!


“Siapa Nur Zahirah?” Mak cik Zaiton, ibu Hafiz bertanya kepadaku sambil menghulurkan sebuah bungkusan berbalut kertas ungu. Di atasnya tertulis “KEPADA SAUDARIKU NUR ZAHIRAH”.

“Saya kenal dia makcik..untuk dia ni…Insya-Allah..saya cuba sampaikan bungkusan arwah untuk dia..saya pun tengah contact kawan-kawan lama seuniversiti dulu makcik..” kataku sebak…hingga akhir hayat, sahabatku tidak pernah mengharapkan apa-apa selain Nur Zahirah. Benar, aku tidak begitu memahami perasaan halus itu, tetapi hatiku terusik amat akan rasa kasihnya pada gadis ini. Nur Zahirah.

Di satu sudut, gadis ayu bertudung labuh kelabu tunduk bersimpuh. Ku kenal lagi. Masih segar dalam ingatan siapa gerangan gadis ini.

“Assalamu'alaikum, kak Irah..ini untuk akak…dari…arwah Hafiz…”

Nur Zahirah mengesat air mata lantas mengambil bungkusan tersebut. Terketar-ketar dia menutur kata..

“Dari Fiz ya..” Nur Zahirah berlagak tenang membuka perlahan bungkusan. Diari biru agak kusam. Rupanya Hafiz menghadiahkan diarinya buat Nur Zahirah. Suasana pilu menyelubungi kami.

“Kak..Fiz tak pernah lupakan akak…berkali dia katakan pada saya…dia..masih mengharapkan akak…tapi saya ingat akak dah bertunang sebab Wan cakap akak dah bertunang dengan orang Pahang..tak sampai hati saya nak bagitau dia…maafkan saya kak” aku bersuara. Sekilas kupandang wajah Sumayyah…matanya merah menahan sebak.


“Akak tak bertunang..itu adik akak..memang akak dijadualkan bertunang juga pada hari yang sama tapi akak menolak..”

Aku terdiam. Salah siapa sekarang? Ketentuan Ilahi tiada siapa mampu mengubahnya. Cinta Hafiz pada Zahirah kekal bersemadi. Dan Zahirah masih tidak mengucapkan lafaz cinta dan sayang padanya sehinggalah Hafiz tiada. Sukakah Zahirah pada Hafiz? Kasihkah Zahirah padanya?

Cerita ini sampai di sini. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti dan masih tertanya-tanya. Apakah Zahirah mempunyai perasaan yang sama? Siksanya Hafiz menanggung rasa sayang kepada dia kenapa dia cuma mendiamkan diri? Ah…biarkan. Aku cuma perlu mendoakan arwah Hafiz.

Al-fatihah…sesungguhnya cinta itu terlalu misteri untuk ditafsirkan..

Qalam-3.30 am, KL.

Tuesday, 8 September 2009

Kisah Pokok Epal

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar.
Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal
ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan
epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di
perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat
permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang
remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar
pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok
epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-mainlah di
sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi
gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu. "Aku mahukan
permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu
dengan nada yang sedih. Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu,
petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan." Budak remaja itu
dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ.
Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih. Masa
berlalu...

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal
itu merasa gembira. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok
epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk
mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan
untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku.
Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang
besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan
cadangan. Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan
pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang
gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali
lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu.
Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan
pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa. "Marilah bermain-mainlah di
sekitarku," ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi
budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku
mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot.
Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu. "Aku tidak mempunyai bot untuk
diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk
dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok
epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal
itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali
lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah
usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah
bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa
lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau
jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku
hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu
dengan nada pilu. "Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi
untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk
memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika
begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua
itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua
menangis kegembiraan.

CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR
TENTANG PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP. ANDA MUNGKIN
TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA. HARGAILAH JASA IBU BAPA KEPADA KITA. JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI BAPA SETIAP TAHUN.



" Jika ilmu dan amal tidak membuahkan akhlak yang mulia, maka ilmu
dan amal itu tiada nilainya di sisi Allah swt dan manusia "

-HUKAMA-

Friday, 4 September 2009

Luahan hati isteri solehah

Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami."

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi.....idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku. Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.

"Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku. "Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi.

`' Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan `abang' dari bibirnya. Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya. Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini. Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata.

"Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghribkan ? `' ujarku.

`' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku. Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, kusalami dan kucium tangannya. Lama. Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.

"Abang....." aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu dihadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.

"Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah. " Tutur bicaraku ku susun satu persatu.

`'Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya."

''Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `'

''Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.'' Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.

Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis. Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku. Membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar kusambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan. Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhilwah di Gua Hira'. Lalu, kucium tangannya, kupohon ampun dan maaf. Kuhadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik! Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

`' Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu . `'

Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Kuhiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata. Makan minumnya kujaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya.

Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki. Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga. Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri. '

Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.'

`' Ain baik, cantik. Abang sayang Ain. `' Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku. Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.

Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain."
"Apa dia abang?" tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih.

`' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu.

Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?

"Abang ada masalah ke?" Aku cuba meneka.
"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain......untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.

Tanpa bicara, dia mengangguk.

`' Dengan siapa abang ? `' Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

`' Faizah. Ain kenal dia, kan ? `'
Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah. Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa.

Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.
" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain."
"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah....bermakna.....sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi."

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami. Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `'

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku? Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya. Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu. Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati. Oh Tuhan.....ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ? Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian. Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak. Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya. Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

`Oh Tuhan...berilah aku petunjukMu.' Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku. Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ? Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atasku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela. Biarlah. Bukan cinta manusia yang kukejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?

Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah. Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.

"Ain?......Ain serius?"
"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.

Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku. Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.

'' Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak cakapkan, `' setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.
`' Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya.
"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?"
"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya.

Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Ustazah. Aku hanya mengangguk.
" Pernah dia cakap dia sukakan Izah?"
"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `'

`' Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." Aku terdiam seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati, aku tuturkan kalimah itu.

" Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `' Apa yang Kak Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.

"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku. "Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz Harris.....mahu... melamar saya?"

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku. Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.

"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak. Matanya kulihat berkaca-kaca.

"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain."

"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam pelukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.

"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda.
`' Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain."
"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain...Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `'

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu."
"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah."

Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.'

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.

Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.
"Kenapa?"
"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain.
Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang....malu dengan Ain."
"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `'
`' Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain."
"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin."
"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas. Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya. Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermainku. Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.
`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut.
"Ain rindu abang. Rindu sangat.
`' Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.
`' Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ?
`' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.
`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `'
Aku menduga keikhlasan bicaranya.
`' Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja.
Senyumlah sayang, untuk abang. `'

Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati. Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya. Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia- siakan kasih sayangku padanya. Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.

Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka.
Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik.

Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh...anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah.

Bagiku Faizah seperti adikku sendiri. Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi..... ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami. Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah s.a.w

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).

Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.

Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.

Wednesday, 2 September 2009

Kisah Berhutang 5 Sen

Ustaz Halim (bukan nama sebenar), telah diganggu dengan suatu mimpi yang dia sendiri tidak memahaminya. Berbulan bulan dia tidak lelap tidur kerana mimpi tersebut. Dia bermimpi datang seorang lelaki yang dalam keadaan yang amat terseksa dan melambai-lambaikan tangan kepadanya dengan berkata " tolong bebas kan aku". Setelah bersolat hajat, bertanya dengan orang-orang 'alim akhirnya dia telah bertanya dengan ibunya dimanakah kubur bapanya.

Ibunya bercerita, ketika berlaku serangan Jepun di Tanah Melayu, dia telah terpisah dengan suaminya. Hampir 40 tahun berlalu dia tidak pernah dengar langsung khabar berita. Maklumat yang diketahui ayahnya telah terbunuh ketika perang Jepun dahulu. Setelah berlalu beberapa bulan, Ustaz Halim tidak jemu-jemu bermunajat dan berdoa agar Allah memberikan petunjuk supaya dia dapat menyelesaikan mimpinya.

Mengikut orang-orang 'alim, orang yang memanggilnya didalam mimpi tersebut ialah roh ayahnya. Ustaz Halim sentiasa berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa ayahnya dan melepaskan siksaan yang diderita oleh ayahnya. Namun setelah dua tahun berlalu dia masih diganggu oleh mimpi tersebut lagi.

Masa berlalu, akhirnya dia dapat maklumat bahawa sebenarnya ayahnya baharu meninggal lebih kurang dua tahun yang lalu. Maklumat yang diterima, ayahnya adalah seorang yang berjaya dalam perniagaan dan telah banyak melakukan amal kebajikan untuk kabaikan Islam. Setelah terpisah ketika perang Jepun, arwah ayahnya telah berikthiar mencari isterinya namun tidak berjumpa. Ayahnya mendapat tahu isterinya telah meninggal dunia kemudian telah mendirikan rumahtangga dengan isteri kedua dan dikurniakan dengan lima orang anak perempuan.

Ustaz Halim telah pergi ke rumah ibu tirinya untuk mengetahui jika ayahnya dahulu ada meninggalkan apa-apa hutang yang belum selesai. Ibu tirinya dan adik-adik tirinya tidak memberikan kerjasama yang baik setelah mengetahui bahawa Ustaz Halim adalah juga waris kepada si mati. Dia takut Ustaz Halim akan menuntut haknya daripada harta si mati. Bagimanapun daripada peguam keluarga ayahnya memberitahu bahawa semua hutang simati telah dijelaskan dan tidak ada satu pun yang tinggal.

Ustaz Halim terus menyiasat, kepada semua kenalan aruah bapanya dan memohon semua kenalan bapanya jika ada salah dan silap ketika dia hidup harap diampunkan.

Masa berlalu, mimpi masih terus menganggu.

Suatu hari Ustaz Halim pergi semula ke rumah ibu tirinya, menceritakan kepada ibu tirinya tentang mimpi yang dialaminya. Mimpi tersebut bermula setelah kematian ayahnya. Ibu tirinya merasakan tidak mungkin sebab arwah ayahya adalah seorang yang taat beribadah dan rajin bersedekah. Suka menolong orang susah. Tidak pernah lambat menjelaskan zakat perniagaannya. Bagaimana dia boleh terseksa. Ibu tirinya berpendapat itu mungkin bukan arwah suaminya. Mungkin orang lain.

Setelah panjang lebar berbincang dengan ibu tirinya, dia pun mengambil keputusan untuk balik. Ketika keluar daripada rumah tersebut, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki tua tersebut bertanya ini kah rumah Datuk Azlan bin Affendi (bukan nama sebenar). Ustaz Halim menjawab betul. Dia ada dirumahkah? Tanya lelaki tua tersebut.

Kemudian tanpa banyak soal, ustaz Halim membawa orang tua tersebut ke kubur arwah ayahnya. Di dalam perjalanan, Ustaz Halim menceritakan segala-galanya dan orang tua tersebut menceritakan pula dia adalah sahabat karib kepada kawannya Azlan. Beberapa minggu yang lepas dia terbaca satu buku dan dibelakang buku tersebut ada biodata kawannya itu. Lalu dia terus datang ke KL untuk berjumpa dengannya.

Sebelum sampai ke kubur, mereka singgah sebentar minum di warung kopi. Ustaz Halim bertanya dengan orang tua tersebut. Pernahkan pakcik berselisih paham dengan ayah saya? Jawab orang tua tersebut, tidak pernah dan kalau adapun dia telah mengampunkan segala dosanya. Ustaz Halim terus bertanya berkenaan dengan hutang. Orang tua itu kata tidak pernah Azlan berhutang dengannya.

Mereka terus ke kubur dan berdoa. Selesai berdoa orang tua terebut teringat peristiwa sebelum mereka berpisah ketika perang Jepun. Ketika itu kami sedang minum kopi di warung. Azlan telah tergesa-gesa pulang dan meminta dia membayarkan duit minum kopi yang berharga 5 sen dahulu. Dia berjanji akan membayar balik. Kemudian Jepun menyerang kampung kami dan kami terus berpisah. Orang tua tersebut terus berdoa Ya Allah aku halalkan hutang lima sen yang kawan ku Azlan berhutang kepada ku.

Setelah hari itu, Ustaz Halim tidak lagi diganggu dengan mimpi tersebut lagi.

Ini adalah kisah benar (Nama sebenar dirahsiakan oleh penulis).

Moral cerita:- Renungilah hadith nabi berikut:

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:

"Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskannya maka tergantung-gantunglah ia di antara langit dan bumi, yang bererti terseksalah roh itu hingga dibiarkan hutangnya itu"

Dari kisah ini, Datuk Azlan masih beruntung kerana dia mendapat anak yang soleh (Ustaz Halim). Dan dengan berkat anak yang soleh ini dia dapat mengadu kepada anaknya didalam mimpi kemudian terbebas ia dari hutang yang sangat kecil iaitu 5 sen dan telah dapat terbebas dari seksaan yang dahsyat iaitu Roh terawang-awang diantara langit dan bumi.

Oleh itu, walaupun banyak amal ibadat kita, banyak sedekah kita, jika ada hutang yang tidak selesai walaupun satu sen pasti roh kita akan terseksa setelah kita mati.

Oleh itu, jika berhutang hendaklah ditulis dan beritahu kepada waris kita sebelum kita mati supaya waris kita dapat menyelesaikannya.

Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282:

"Wahai orang mukmin, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan cara berhutang (yang bertempoh) hingga ke sesuatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (kadarnya dan tempohnya) dan hendaklah ada jurutulis yang menulisnya dengan adil dan benar, dan janganlah seorang penulis itu enggan menulis/mencatit sebagaimana Allah telah ajarkan. Oleh itu hendaklah penulis itu mengikut yang merencanakan oleh pihak yang terlibat dengan penuh rasa taqwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari jumlah atau kadar dan tempoh masa berhutang itu dimulakan hingga selesai dibayarkan balik dengan sempurna."