Thursday, 26 November 2009
Antara Aku dan Dia
Tepat jam 10.00 pagi aku terbangun. Aku memegang kepalaku yang masih lagi berasa berdenyut. Ya Allah…Aku tidak menemuimu pagi ini dalam sujudku. Ya Allah, Kau ampunkan aku dengan kelalaianku ini.
“ Kau bukan lalai, kau tu sakit kepala. Jangan terlalu berasa bersalah. Dah bangun ni qadakan saja solat kamu tu. Jangan risau”, seolah-olah ada suatu suara yang membisikkan kata-kata itu di telingaku. Aku cuba bangun dan menuju ke bilik air.
Aku berdiri di hadapan cermin. Aku memandang wajahku yang nampak semakin pucat. Hari ini Kau masih menerima kehidupanku di dunia ini ya Allah, sesungguhnya Kau berkatilah setiap perjalanan hidupku. Setiap saat dan setiap detik masa berlalu. Awasi dan bimbinglah aku Ya Allah…
Hari ini Fatisya ke kuliah seperti biasa. Dengan hanya memakai baju kurung berwarna biru yang nampak agak lusuh dan tudung turki berwarna coklat, Fatisya melangkah menuruni anak tangga kolejnya menuju ke perhentian bas. Dipertengahan jalan,
“ Tisya…malam ni ada meeting JPKK ( Jawatankuasa Persatuan Kebajikan dan Kerohanian). Jangan lupa pula”. Beritahu Jamilah lalu berlari menaiki anak tangga. Fatisya hanya mengangguk dan terus berlalu pergi. Sambil menanti bas tiba, mulut Fatisya tidak putus-putus membaca zikir ma’thurat yang sudah lama menjadi amalan hariannya pada setiap pagi mahupun setiap petang hari. Kelihatan siswa dan siswi yang sudah panjang beratur untuk menaiki bas. Fatisya berjalan dan beratur di belakang seorang pelajar India yang sedang khusyuk berbual-bual dengan kawannya.
“ Maaf ye, nak tanya, dah lama ke tunggu bas?”tanya Fatisya.
“ Sudah lama kami tungggu, tapi bas masih belum datang lagi. Rasa jemu dah ni…”, balas budak India itu. Fatisya hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Ini bermakna Fatisya juga harus bersabar menanti bas tiba. Lima minit kemudian bas sekolah yang biasa mengambil kami ke fakulti tiba. Syukur…
“ Wah…Banyak untung kamu. Baru ada tunggu sekejap bas sudah datang”, kata budak India itu lagi. Aku tersenyum sekali lagi memandangnya.
Fatisya menuruni anak tangga bas perlahan-lahan lalu terus menuju ke bilik kuliah. KELAS DIBATALKAN!!! Masya Allah…Kelas dibatalkan? Teruk-teruk aku datang awal hari ni kelas pula batal. Menyesal aku.”, bisik hati kecilku lalu menghempaskan buku ke meja berdekatan bilik kuliah tersebut. Aku duduk seketika. Tiba-tiba hatiku berasa tidak sedap. Apa yang aku katakana tadi? Ya Allah…Tutur kata apakah yang aku keluarkan tadi. Ampunkan aku Ya Allah… Aku terleka seketika mengingatiMu ketika itu. Astaghfirullah…mengapa kata-kata itu perlu kukeluarkan. Sudah hilang kesabaranku hanya dengan sedikit ujian ini daripadaMu ya Allah. Fatisya menutup mukanya seketika.
“ Tisya…kenapa dengan kau ni? Tanya Julia.
Fatisya hanya menggelengkan kepalanya.
“ Apa kata kita lepak dalam bilik lajnah dulu, kelas tak ada nak tunggu apa lagi kat sini. Menyampah aku. Kita ni dah sungguh-sungguh nak datang kuliah, kuliah pula batal. Ini membuatkan aku semakin malas nak datang kuliah ni”, leter Julia sambil menepuk bahuku. Fatisya mengangguk tanda setuju. Dia mengikut Julia dari belakang.
Julia memandang Fatisya dari atas sampai ke bawah. Fatisya menjadi semakin pelik dengan pandangan Julia.
“ Tisya, aku tengok kau ni ada rupa, pandai pula tu, yang paling utama kau ni baik, Cuma satu je aku kurang puas hati dengan kau”, kata Julia semasa menaiki anak tangga menuju ke lajnah mereka.
“ Apa dia?”, tanya Fatisya ingin tahu.
“ Kau ni tak pandai bergaya. Cuba kau tukar imej kau tu sikit. Pasti ramai lelaki yang bakal terpikat dengan kau. Ini asyik pakai baju kurung lusuh je. Macam mana orang lelaki nak pandang”, balas Julia sambil memegang baju kurung Fatisya. Fatisya tersentak seketika dengan kata-kata Julia. Apakah selama ini dia memang perempuan yang tidak pandai bergaya. Perlukah semua itu? Fatisya menelan air liur. Kata-kata Julia itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan dalam hatinya. Dia sedar dia bukanlah perempuan seperti Julia yang pandai bergaya. Bijak menggayakan pakaiannya setiap kali datang kelas.
“ Kau jangan marah pula aku cakap macam tu. Kita ni orang perempuan Tisya, Kenalah jaga imej. Barulah orang pandang kita membuatkan mereka kagum dan terpesona”.kata Julia lalu membuka pintu lajnah. Fatisya diam. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Kata-kata Julia itu ada juga kebenarannya. Mungkin selama ini Aku tidak pernah menitik beratkan penampilanku. Aku sibuk dengan tugas-tugas pengajian dan aktiviti-aktiviti pengisianku membuatkan aku tidak pernah memandang semua ini. Tidak? Itu bukan alasan. Bertitik tolak dari dalam diriku sendiri. Aku perlu mengubah persepsi itu. Tapi bagaimana?
“ Tisya…Aku rasa kalau kau nak aku ubah imej kau, dialu-alukan. Sebut saja bila, aku sedia membantu”, pelawa Julia. Fatisya berfikir sesuatu. Mungkin sudah sampai masanya aku berubah.
Fatisya membelek wajahnya di cermin. Wajah yang kelihatan pucat dengan baju kemeja hijau yang sudah lusuh warnanya. Fatisya memegang pipinya berkali-kali. Memang betul cakap Julia, aku bukannya tidak cantik, Cuma aku tidak pandai untuk mencantikkan diriku ini. Wajahku kelihatan lebih tua berbanding usiaku yang baru menjangkau 23 tahun. Aku terduduk seketika di hujung katilku. Ya Allah…Kenapa aku begitu risau dengan semua itu. Kecantikan bukan jalan untuk menuju syurgaMu ya Allah. Ya Allah jangan kau lupa memandangku walau sekelip mata Ya Allah, Aku takut aku jauh dariMu, jauh dari pandanganMu, jauh dari kasih sayangMu. Fatisya menangis. Hatinya berbolak balik.
Dia keliru.
Kadang kala dia merasakan kata-kata Julia kepadanya merupakan suatu semangat untuk dia mengubah penampilannya, kadang kala Fatisya merasakan semua itu akan membuatkan dia lupa pada dirinya yang sebenar, hidup sebagai hamba Allah dan beribadat kepadaNya untuk meraih syurga. Namun…Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk cantik, menjaga penampilan, Cuma jangan sampai melanggar syariat Allah SWT. Fatisya semakin keliru.
“ Apa yang harus aku lakukan. Perlukah aku mengikut kata-kata Julia, atau aku perlu mengikut kata hatiku. Ah…buntu”, bentak hati kecil Fatisya.
Tiba-tiba telefon Fatisya berbunyi.
“ Assalamualaikum…
“ Waalaikumussalam…Ya Jamilah. Kenapa?”, tanya Fatisya.
“ Nak beritahu kau, meeting tukar petang ni juga. Pukul 6.30 petang kat bilik kegiatan. Malam ni tak boleh buat, ramai pula yang akan terlibat dengan perjumpaan dengan pengetua pukul 9.30 malam untuk program hari Terbuka nanti”, balas Jamilah.
“ 6.30 petang tu dah dekat nak masuk solat Maghrib, dia orang ni tak fikir ke?”, marah Fatisya seketika.
“ Ah…tak kisahlah. Janji kau datang juga. Cepat turun nanti. Aku tak nak mereka bising”, kata Jamilah dan terus memutuskan talian telefon. Fatisya menghela nafas panjang. Dia membelek jam di tangannya. Sudah pukul 6.00 petang. Dia terus mencapai baju kurung yang tergantung di hujung katilnya dan disarungkan ke badan. 6.15 Fatisya terus turun menuju k bilik kegiatan. Hampir setengah jam Fatisya menunggu teman-temannya yang lain datang.
“ Sorry, lambat sikit. Ok, kita mulakan sekarang”, kata Salman selaku wakil kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan & Kerohanian.
“ Sebelum kita bermula, saya ada satu cadangan”, celah Fatisya dengan pantas.
“ Apa dia Fatisya? Silakan”, jawab Salman.
“ saya rasa sebaiknya kita solat Maghrib dulu. Lepas solat baru kita mulakan meeting kita. Sekarang pun dah hampir pukul 7 malam.
Eloknya kita sudah bersedia untuk menunaikan solat”, cadang Fatisya sambil memerhati ke arah semua teman-temannya.
“ Tak pe, kita mulakan dulu, lepas selesai meeting kita solat. Tak payahlah tergesa-gesa sangat. Belum pun masuk waktu”, marah Salman.
“ Kalau kamu semua nak teruskan meeting, teruskan. Saya nak solat dulu”, balas Fatisya tegas dan terus bangun dari tempat duduknya dan berlalu pergi.
Fatisya tidak mampu menahan kesabarannya. Dia menarik nafas panjang dengan jawapan Salman. Jawapan yang membuatkan dia begitu kecewa. Ya Allah…bukakanlah pintu hati mereka untuk mengenalMu ya Allah, untuk merasakan kepentingan kepadaMu lebih dari segalanya. Fatisya melangkah longlai menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Sekali sekala dia mengelap peluh yang meleleh di dahinya.
Hujung minggu kali aku bersama Julia ke Supermarket Giant untuk mencari pakaian baruku. Pelawaan Julia pada mulanya kutolak, namun akhirnya aku mengalah dengan pujukannya.
Dia sanggup meluangkan masa menemaniku membeli belah pakaian baru. Aku mengikut sahaja ke mana Julia pergi. Semua pilihan pakaian yang dipilih oleh Julia aku terima seadanya. Aku merasakan Julia lebih mengetahui citarasa dan pakaian yang sesuai untuk dipakai olehku nanti. Malah ada dua pasang baju yang telah dihadiahkan oleh Julia kepadaku. Aku terharu.
“ Kenapalah kau susah-susah berbelanja untuk aku ni Julia”, kata Fatisya.
“ Alah…berapa sangat harga baju tu. Aku rasa lebih puas hati kalau kau pakai baju yang aku hadiahkan tu nanti. Rasanya tak sabar nak tengok kau dengan penampilan baru”, balas Julia dengan bangganya. Fatisya sekadar tersenyum.
Hari ini Fatisya datang ke kuliah dengan penampilan barunya. Berjubah seluar dan bertudung ala wardina. Hampir separuh daripada teman-teman sekelasnya terkejut dengan penampilan Fatisya.
“ Wow…aku ingatkan bidadari mana yang turun dari langit tadi. Tak sangka kau secantik ini Tisya”, puji Hanis.
“ Tisya ke ni…Lawanya kau hari ni. Hah…aku tak sangka. Terpegun aku memandang dirimu Tisya”, usik Marlia. Fatisya tersenyum bangga. Dia tidak menyangka penampilan barunya mendapat perhatian ramai. Sekali sekala dia tersipu malu mendengar pujian-pujian mereka.
“ Tulah kau Tisya…Aku dah cakap pada kau. Kau tak percaya. Sekarang buktinya. Semua orang terpegun dengan penampilan baru kau. Tu baru budak perempuan tengok, belum lagi budak lelaki. Cayalah…aku pasti mereka tangkap leleh punya”, puji Julia.
“ Kau ni, janganlah cakap macam tu. Aku malu tau tak”, balas Fatisya.
“ Jom kita naik lajnah. Aku ada barang tertinggal pula. Cepatlah”, ajak Julia sambil menarik tangan Fatisya. Fatisya terus mengekori Julia dari belakang.
Fatisya terperanjat apabila sampai di lajnah. Semua mata memandang ke arahnya. Dia sudah tidak tentu arah. Dia tersipu-sipu malu.
“ Tisya…cantik sungguh kau hari ni. Hati aku berdebar-debar memandang wajahmu, mulutku kelu untuk berkata sesuatu.Sudikah kau menjadi suri hidupku”, usik Jefri. Fatisya tersenyum malu.
“ Apalah Jef ni. Puji-puji orang macam ni sekali. Malu tau”, balas Fatisya.
“ Betul apa aku kata. Tak salahkan kawan-kawan”, tanya Jefri kepada siswa-siswa yang lain. Semuanya mengangguk.
“ Kalau macam ni selalu, jangan katakan Jefri, akupun jatuh hati pada kau Tisya”, sampuk Adib.
Fatisya sudah tidak tentu arah dengan pujian-pujian itu. Mata Badrul pula tidak berkelip-kelip memandangnya. Fatisya tidak tentu arah. Dia berasa tidak selesa dengan pandangan tajam itu. Dia bangun dan terus keluar dari bilik lajnah.
“ Nak pergi mana pula? Tunggulah dulu. Kita sembang-sembang. Kau ni Tisya, kami belum puas lagi tengok muka kau, kau dah nak pergi”, kata Jefry lalu menghampiri Fatisya. Fatisya tidak mampu berkata apa-apa lagi. Pandangan Badrul semakin lama semakin tajam. Fatisya terus berlalu dan menuju ke ruang tamu berhampiran pejabat. Jefry mengekorinya dan diikuti Adib. Julia hilang entah ke mana? Fatisya duduk di sofa di ruang tamu.
“ Tisya…malam ni apa kata kita keluar makan sama-sama”, ajak Jefry.
“ Kau keluarlah dengan aku, aku ada kereta. Kalau kau kelaur dengan Jefry setakat naik motor cabuk dia jelah”, celah Adib.
Fatisya tidak berkata apa-apa. Dia berasa gelisah dan pelik apabila memikirkan pandangan Badrul tadi. Pandangan yang cukup luar biasa. Dia bukan memandang Fatisya disebabkan pandangan yang tertarik, tapi memandang seolah-olah teguran untuk diri Fatisya.
“ Tisya…cepatlah beri jawapan. Kau nak keluar dengan siapa? Aku ke dengan Adib?” soal Jefry berkali-kali. Fatisya memandang ke arah mereka.
“ Aku nak balik. Dengan siapapun aku tak nak keluar”, balas Fatisya lalu bangun dari tempat duduknya dan terus turun menuruni anak tangga.
“ Adik…kat surau dah azan zohor ke belum?” tanya Fatisya dalam kegelisahan.
“ Dah lama dah azan akak. Sekarang ni dah pukul 2.30 petang?” balasnya dan membuatkan Fatisya tersentak seketika. Fatisya terus bergegas ke surau. Dia membasuh mukanya berkali-kali. Dengan langkah yang begitu lemah Fatisya mencapai telekung. Air matanya menitis tidak henti-henti.
“ Ya Allah…kenapa aku lalai terhadapMu ya Allah? Kenapa dengan perubahan yang hanya sedikit pada diriku membuatkan aku terlupa tugasku kepadaMu ya Allah. Ya Allah…awasilah aku selalu ya Allah agar aku tidak terus hanyut dengan kebanggaan dunia yang hanya bersifat sementara”. Fatisya terus menangis. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Dia baru tersedar dengan pengawasan Allah terhadapnya. Dia baru merasakan Allah sentiasa bersamanya, sering memandangnya. Tidak ada yang lain selain Allah. Fatisya tidak mahu lagi peristiwa itu berlaku dalam hidupnya. Biarlah sekali Cuma, yang pasti itu pengajaran terbaik daripada pengawasan dan kasih sayang Allah kepadaNya.
Ya Allah…aku bersyukur kepadaMu. Dan kini aku merasakan setiap gerak geriku sentiasa di dalam pengawasan dan kasih sayangMu. Pimpinlah aku ya Allah untuk terus berada di atas jalanMu dan yang paling pasti berikanlah syurgaMu kepada diriku. Jadikanlah hidupku ini dalam rahmatMu. Fatisya terus menangis dan menangis. Yang pasti tangisannya adalah tangisan penyesalan, yang sudah pasti tidak akan diulanginya lagi.
Friday, 13 November 2009
Pertemuan Doa
|
|
|
|
| Faizal terus melangkah menuju ke biliknya. Langkahnya Iemah dan longlai. Timbunan pakaian kotor, buku-buku yang bersepahan di atas meja, katil yang belum dikemas, sampah-sampah kecil yang bertaburan di lantai, semakin membuatnya risau dan lemas.
|
Wednesday, 4 November 2009
CintaMu Yang Lebih Utama
|
|
|
|
|
|
Wednesday, 28 October 2009
NIL MENGALIR SONGSANG
SHAM,
Nil masih lagi mengalir tenang, sekalipun hakikatnya tidak pernah reda dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyatnya. Aku seperti Nil itu. Khabarku masih baik. Cuma hidungku ini masih selesema bahana ribut pasir Khamasin yang mengamuk di Kaherah dua minggu lalu. Langit kemerah-merahan sebelum menjadi gelap-gelita. Hatta, ramai yang menyangka kiamat akan berlaku apabila siang bertukar malam serta-merta.
Sememangnya aku harus terkejut menerima kunjungan warkahmu beberapa hari yang lalu. Empat tahun tanpa sebarang berita memaksa aku beranggapan bahawa engkau tidak lagi mengenangi diri ini. Ya, zaman menengah yang manis - sebelum bergelar mahasiswa - telah kita tinggalkan. Kini aku menghampiri tahun akhir pengajian. Tinggal di Hayyu Sabi'e bersama dua orang temanku. Kalut juga memikirkan panggilan pulang yang kian menjelang datang. Harapan ayah ibu, keluarga, orang kampung, sewaktu mahu berangkat ke sini dulu, semakin acap terngiang. Dan sewajarnya aku tertarik dengan suratmu yang masih semesra dulu. Banyak persoalan yang kau lontarkan - terutama tentang Bumi Kinanah ini.
Sekadar yang ku mampu, akan ku beritahu. Lantaran, sekalipun telah lebih seribu hari aku di sini - selaku seorang wanita - tidak semua tempat wajar kujejaki. Kehidupanku berlangsung sekitar Hayyu Sabi'e, Hayyu Thamin, Hayyu A'shir, Kaherah, dan universiti. Mahu bicara tentang apa ya? Membalas keluhanmu di dalam surat terhadap senario pemimpin arab, biarlah aku menyentuh tentang fenomena di sini, terutama sejarah negara ini. Sejarah Republik Arab Mesir yang bermula apabila berlakunya revolusi pimpinan Gamal Abdul Nasser. 23 Julai 1952 adalah tarikh keramat yang menyaksikan tumbangnya institusi beraja kuku besi selama ini. Beliau mati awal 70-an, seterusnya digantikan oleh Anwar Sadat yang menandatangani Perjanjian Camp David sebelum menemui ajalnya di tangan pengiringnya Khaled Islamboli - harga yang harus dibayar di atas perjanjian tercela itu. Pun begitu, Al-Azhar kekal unggul sebagai institusi ilmu Islam terulung sejak satu mileneum.
Biarpun menghadapi serangan pemikiran Barat yang menggila, yang cuba menggugat kestabilannya, namun para ulama tetap bersatu mempertahankannya. Siswazah-siswazah berketrampilan masih berjaya dihasilkan saban tahun untuk kembali memimpin umat di segenap pelosok dunia. Sehingga ke hari ini, Muhammad Sayid At-Tantawi masih lagi menerajui al-Azhar. Ah, tokoh Syeikhul Azhar yang seorang ini.
Barangkali kerana fatwanya yang sering kontroversi, para pelajar lebih mengenang kepergian Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawie yang tawaduk itu. Sebetulnya aku baru saja selesai imtihan. Bukan lagi Daur Mayu macam dulu, tapi Al-Azhar sudah beberapa tahun mempraktikkan sistem semester.
Cuti ini tidak ke mana-mana. Masa akan kuhabiskan dengan menghadiri kelas-kelas tafaqquh di samping menyertai program-program persatuan. Kala dalam pengajian inilah sebaik-baik masa untuk menyiapkan diri menghadapi masyarakat kelak. Setagal lagi, ada tanggungjawab yang menanti. Jadi, usah terlupa, aku ingin mendengar cerita-ceritamu pula dari Lembah Urdun.
Menikmati hasil kepekaanmu meladeni senario pergolakan di rantau sebelah sini. Nilofar Kaherah 29 Jun 1999 Sham masih terkasima apabila menerima surat bercop Madinah Nasr, Kaherah itu. Semacam tidak percaya. Penantiannya selama ini berakhir juga.
Dia tersenyum sendiri. "Alhamdulillah. Ada harapan…," bisiknya perlahan, antara dengar dengan tidak. Wajah lembut menawan bermata jeli segera memenuhi ruang mata. Dia belum betah melupakan kemesraan silam, apalagi membiarkan ia terpadam. Uzair yang ralit membaca, sempat menangkap kalimat itu. "Harapan apa?" Sham menunjukkan sampul surat bercorak papirus buatan Mesir. Uzair masih lagi belum faham. Tanpa sebarang jawapan, dengan senyuman yang masih melebar, Sham menghadapi monitor, dan terus sahaja membalas: Nil, Terima kasih. Aku juga tidak percaya engkau masih menganggapku sebagai sahabat, walaupun sekian lama terpisah jauh.
Aku masih lagi mengenang dunia persekolahan yang riang. Yang nyata, jarak bukanlah pemisah yang berupaya mengasingkan kita. Nostalgia silam masih terkulum kemas. Aku bersetuju dengan kata-katamu. Ya, seharusnya kita yang berada di Timur Tengah peka dengan kemelut rantau yang senantiasa bergelora ini. Jadikan ia iktibar paling mahal dalam rangkaian pengalaman sepanjang hayat. Aku tertarik amat dengan perbicaraanmu tentang Perlembahan Nil dan sosiopolitiknya. Walaupun ringkas, namun padat intinya.
Tetapi, apa kurangnya di Bumi Isra' ini? Mungkin engkau hanya mengenali Jordan sebagai negara yang rajanya berketurunan Rasulullah SAW, dan punya permaisuri yang demikian jelita. Sejarahnya, sosiopolitiknya, masa depannya, tidak seindah yang disangka. Malah khalayak selalu disogokkan dengan penipuan dan lakonan yang bersinambungan. Jordan asalnya tidak wujud. Yang ada hanyalah Sungai Jordan yang terletak dalam Palestin. Namun, sejurus berlakunya Revolusi Besar Arab, dan tersungkurnya Khilafah Uthmaniyyah di tangan Kamal Attaturk, sejarah asalnya tidak boleh dipakai lagi.
Hasil penjajahan Barat dan perpecahan arab, negara-negara di Asia Barat wujud begitu pesat. Maka, muncullah Arab Saudi, Jordan, Syria, Lebanon, dan Palestin (belum dicampur negara-negara di Teluk). Dan semestinya tidak ramai yang ambil tahu penyelewengan fakta sejarah ini malah tidak mengenali siapa sebenarnya pengasas negara Jordan ini - Syarif Hussin. Seperkara lagi, negara bersistem monarki ini, terlalu kerap bertukar Perdana Menteri. Melucukan. Serasanya, hingga kini jumlahnya hampir mencecah angka 40 sejak kemerdekaan Jordan pada 1946. Pimpinan yang tidak serasi dengan politik rajanya, akan dicantas bila-bila masa.
Aku bermastautin di Irbid, bandar ketiga terbesar di negara ini, 40 km dari sempadan Jordan-Israel. Penempatan yang hampir dengan kampus membolehkan kami berjalan kaki ke kuliah. Dengan jumlah pelajar Melayu yang kian susut tahun demi tahun, tidak sukar untuk kami mengenali setiap penuntut di sini. Dan semestinya kefasihan Lughah Arabiah lebih terjamin memandangkan Jordan tidak seteruk Mesir, Arab Saudi, dan negara-negara arab lain yang punya lahjah sendiri dan pekat 'ammienya.
Peluang untuk bertutur bahasa arab fushah terbuka luas. Namun segalanya bertolak dari diri kita juga - kebijaksanaan kita memanfaatkan suasana. Kembali berbicara soal Dataran Syam; tidak sah tanpa menyentuh Yahudi - bangsa terlaknat zaman-berzaman.
Kebencian terhadap Yahudi terlalu membuak di hati. Malah aku tinggal berjiran dengan pemuda Palestin yang punya memori ngeri. Satu keluarganya ditembakYahudi, dan dia jadi pelarian. Di sini, setiap hari melihat tampang Yaser Arafat yang berucap terketar-ketar di televisyen akan membibit rasa jelak yang tidak sedikit. Kami tidak pernah percaya dia akan membela bangsanya, sebaliknya mengkhianatinya. Lelaki nasionalis-sekularis tua itu tidak pernah menguntungkan Islam.
Apabila membaca buku 'Al-Yahudiyyah' tulisan Dr. Ahmad Syalaby, kau akan tahu betapa jijiknya bangsa paling pengecut itu. Betapa halusnya dan telitinya jarum-jarum dan strategi mereka. Kau tentu pernah mendengar tentang gagasan Israel al-Kubra, dari Nil hingga ke Furat; juga pertubuhan seperti Rotary dan Lions yang didalangi Freemason. Agen mereka ada di mana-mana.
Tetapi yang lebih menyedihkan adalah pemimpin-pemimpin arab yang kurasakan lebih hina dan munafiq. Jangan terkejut jika aku pernah membaca betapa Gamal Abdul Nasser itu pengkhianat besar (pastinya sumber ini tidak didapati di Mesir) yang telah bersekongkol dengan Yahudi di balik tabir. Memang dia politikus yang pendiam, tetapi oportunis dan licik. Malah ada kajian yang mendakwa latar belakangnya diragui. Dia berdarah Yahudi? Nil, tentunya kau dapat mengesan emosiku yang naik memuncak bila berbicara soal kemelut di Timur Tengah.
Pastinya sudah lumat kau telan hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya berbunyi: "Barangsiapa yang tidak 'ihtimam' terhadap hal ehwal orang-orang mukmin, maka ia bukan dari kalangan kami." Aku sebetulnya terlalu sedih dengan suasana pergolakan di sini. Sandiwara bodoh yang dilakonkan oleh munafiq moden dalam penjajahan bentuk baru. Perang Salib sebetulnya belum lagi berakhir.
Akhir-akhir ini aku kian kerap membaca tentang Mesir. Gerak hati mahu ke sana, tetapi segalanya baru perencanaan. Rasanya, tidak salah kiranya aku mahu melawat Medan Tahrir tempat Sofia Hanim Zaghlul dan Huda Sha'rawie mencetuskan "Tahrir al-Mar'ah", Piramid dan Sphinx di Giza, Kota Solahuddin di Iskandariah, dan menyaksikan pertemuan dua laut di Dumyat - di samping menziarahi teman-teman seperjuangan. Dan aku juga mahu kembara mencari suatu kepastian!
Shamsul Azly
Irbid 14 Julai 1999
II
"Jadi kau ke Mesir cuti soifi ni?" Sham mengangguk. Tangannya mencapai sekeping surat yang diunjukkan Uzair. Melihat tulisan tangan di sampul, sudah tahu daripada siapa. Terasa tidak sabar mahu mengetahui isinya. "Ramai lagi akhawat di sini, masih memilih yang Azhariah? Tarbiahnya 'kan sama." "Sama tapi tak serupa. Yang pertama itu lebih membekas di jiwa," jawab Sham dalam nada selamba, seraya tergelak kecil melihatkan sahabatnya menggeleng-geleng. "Aku ada membaca: Sungai Nil mengalir songsang. Betul?" tanya Uzair lagi sebelum berlalu. Sham sengih. Soalan itu tidak menarik perhatiannya. Dadanya berdebar-debar kencang. Tanpa lengah, bucu surat dikoyak, lalu isinya dikeluarkan.
Dia mula membaca: Sham, Benarlah, seperti katamu, kepekaan adalah deria yang paling mahal. Justeru, aku membalas suratmu ini, biarpun naluriku semacam kurang enak. Kepastian apakah yang kauinginkan? Aku kagum dengan kepekaan dan kesedaranmu yang sampai tahap itu. Nyata thaqafahmu jelas mantap, dan siapa sangka boleh membantu menolakmu suatu hari nanti menjadi politikus terkemuka, atau paling tidak penulis politik. Ya, pokoknya kemahuan dan keikhlasan dalam perjuangan. Majalah Al-Wa'yu Al-Islamie yang ku beli kelmarin menyebut tentang gerakan Ikhwanul Muslimin di pelosok Tanah Arab, tanpa menyatakan pergerakan pertubuhan itu di tempat kelahirannya - Mesir. Ia gerakan atau 'harakah' mujaddid Islam yang pertama selepas terkuburnya Khilafah Uthmaniyyah pada 1924. Gerakan yang menghidupkan kembali kewajipan jihad dan berusaha menegakkan daulah Islamiyah di maya pada ini. Diasaskan di Ismailliyah oleh As-Syahid Hasan al-Banna pada 1928. Jelasnya, Hasan bukanlah seorang filsuf, tetapi daya pemikirannya dan tahap kefahamannya terhadap Islam mendahului zamannya.
Kitab "Majmu' Rasa'il Hasan al-Banna" ada menjelaskan dasar pemikiran dan idea-idea bernasnya. Namun, dunia Islam dirasakan terlalu awal menyaksikan kematian mujaddid kurun ke-20nya ini lewat 12 Februari 1949. Ah, semua pendokong gerakan Islam semestinya mengingati peristiwa pembunuhan beliau di hadapan ibu pejabat pertubuhan Syu'banul Muslimin oleh mereka yang kemudiannya terbukti dari kalangan Polis Rahsia Mesir. Mengusik tentang dua dataran ini, sering peranan mahasiswa menjadi persoalan. Soal kita yang bergelandangan ke mari untuk mengutip ilmu-ilmu Allah.
Segalanya bertolak dari niat. Tapi niat itulah yang selalu disalah terjemahkan. Masih ramai yang ke Timur Tengah untuk mengejar segulung syahadah, tanpa memikirkan betapa thaqafah Islamiyyah dan pengalaman berorganisasi sangat penting. Pembentukan sahsiah da'ie sewajibnya bermula di sini - sekadar tazkirah untuk kita bersama. Akan tetapi, engkau kurasakan masih lagi Sham yang aku kenali.Yang kental semangatnya, berjiwa besar, juga iltizam dengan prinsip dan dasar perjuangan. Dan aku terus-terusan segan dengan persahabatan ini. Sejak zaman persekolahan, malah sehingga kini, aku masih gagal mengatasimu dalam bidang apa pun. Semakin panjang surat ini kukarang, semakin terasa bersalahnya. Mungkin inilah suratku yang terakhir, justeru usah aku kau hubungi lagi.
Engkau belum mengerti, Sham, bahkan aku sendiri begitu berat untuk memahamkanmu. Kemalangan telah membunuh kedua orang tuaku dalam sekelip mata. Kami kehilangan tempat bergantung. Adik-beradikku dibela oleh saudara-mara. Dan aku sendiri tidak tahu hitam putih masa depanku, lantas merelakan diri ini… biarpun aku sebenarnya belum bersedia. Akhbar hari ini menyebut, Hosni Mubarak mengugut Sudan yang dikatakan terlibat dalam konspirasi membunuhnya lewat letupan bom berhampiran istananya baru-baru ini. Sedihnya.
Sesama negara Islam yang berjiran - malah berkongsi air Sungai Nil- masih lagi bercakaran. Namun Nil kekal seperti dulu. Mengalir songsang dari selatan ke utara. Menerima apa saja yang berlaku di perlembahannya. Pun aku seperti Nil itu. Pasrah. Menerima seorang 'Azhari' untuk memimpin si yatim piatu yang masih samar-samar hari depannya ini, dan menemaniku sepanjang hayat. Sham, teruskan perjuanganmu. Maafkan dan lupakan aku. Aku bakal isteri orang! Nilofar Kaherah 26 Ogos 1999 Sham melipat surat dua helai yang baru selesai dibacanya.
Tubuhnya bergetar, disandarkan ke kusyen. Menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Dia berdiri, melangkah masuk ke kamar,dan menghempaskan tubuh di tilam. Atmanya sedikit terusik. Dalam hati diam-diam mengakui.
Benarlah, Nil itu mengalir songsang!